ilmuKU , duniaKU - menjana kepintaran melalui Al-Quran.
keep on reading & I will not stop blogging.

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

Tuesday, October 23, 2012

Kerohanian : Nilaian Ilmu Pada Pengamalan Dan Perkongsian






“ Menuntut ilmu adalah takwa,menyampaikan ilmu adalah ibadah, mengulang-ulang ilmu adalah zikir,mencari ilmu adalah jihad ( Imam Al-Ghazali) ”.

Sejarah dunia telah membuktikan bahawa andai kata sesuatu bangsa itu hendak bergerak maju, ke arah menuju gerbang kegemilangan, maka salah satu wadah yang perlu diberi perhatian serius ialah budaya ilmu oleh bangsa itu sendiri. Buktinya cukup jelas, dahulunya bangsa yang dikeji dan dipulau iaitu bangsa Israel, kini hadir megah menggengam dunia dengan kuasa keilmuaannya. Kita tidak boleh menafikan hakikat ini biarpun terlalu banyak kekejaman yang dilakukan oleh tangan-tangan mereka. Hakikatnya, banyak  penemuan baru sebagai contohnya dalam bidang sains dan teknologi yang dipelopori oleh bangsa mereka.
Namun begitu, hakikatnya Islam sendiri amat menekankan  aspek pemahaman dan penguasaan terhadap sesuatu ilmu yang bermanfaat bukan sahaja dalam bidang agama namun dalam pelbagai cabang keilmuan. Hal ini ditegaskan lagi oleh Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam dalam sabdanya .طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيْضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ .
“Menuntut ilmu wajib bagi setiap Muslim.”
Malangnya, keadaan umat islam sekarang tidak seperti apa yang disarankan dan diharapkan. Hari ini umat islam terus layu dan lemah.Situasi ini amat berbeda jika dibandingkan dengan era kegemilangan Islam pada suatu ketika dahulu. Salah satu puncanya adalah kurangnya budaya keilmuan seperti budaya membaca, budaya meneroka ilmu yang baru serta budaya cintakan ilmu dalam masyarakat muslim..Oleh itu, jika kita ingin melihat Islam kembali menggegar dunia, maka budaya keilmuan dalam masyarakat harus ditingkatkan ke tahap yang lebih tinggi.
Ilmu dan Amal
Ilmu tanpa amal ibarat pohon tidak berbuah. Begitulah bidalan arab yang sering diungkapkan. Memang jelas bahawa ,apalah yang ada pada sebatang pohon andai kata kelazatan buahnya tidak mampu dimiliki. Begitu jugalah mutiara ilmu, ianya hanya akan bersinar jika digunakan, akan mampu dinikmati jika diagihkan.
Syeikh Abdurrahman bin Qasim An Najdi rahimahullah mengatakan bahawa, “Amal adalah buah dari ilmu. Ilmu itu dicari demi mencapai sesuatu yang lain. Fungsi ilmu ibarat sebatang pohon, sedangkan amalan seperti buahnya. Maka setelah mengetahui ajaran agama Islam, seseorang harus mengiringi dengan amalan, kerna orang yang berilmu yang tidak beramal dengannya lebih buruk keadaannya daripada orang yang bodoh.”
Oleh itu pengaplikasian ilmu dalam kehidupan adalah sangat dituntut.Namun, situasinya kini jauh berbeza. Ramai dalam kalangan ilmuan hanya pandai petah berbicara, menuntut ilmu setinggi langit dan mampu menggapai kecemerlangan dalam setiap peperiksaan yang dianjurkan. Malangnya, kelangsungan ilmu yang dipelajari di bilik kuliah tidak mampu diterjemahkan dalam masyarakat dan kehidupan seharian.
Misalannya, seorang ustaz yang memperoleh ijazah dalam bidang agama, belum tentu mampu mempamerkan akhlak islamiah yang dipelajarinya dan masih belum mahir dalam mengeluarkan fatwa sehingga mampu mengelirukan orang awam.Bahkan yang lebih teruk lagi adalah wujudnya segelintir daripada golongan ini yang sikapnya, tutur katanya dan tingkah lakunya jauh daripada apa yang Islam sarankan. Lantas,orang yang selayaknya digelar ‘role model’ dalam masyarakat terus dipandang sinis oleh khalayak ramai, bak kata pepatah kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
Di samping itu terdapat juga pelajar perubatan yang hanya hebat di kertas peperiksaan namun apabila menerjah ke alam pekerjaan, mereka kaku seolah-olah tidak mengetahui apa-apa mengenai bidang perubatan. Komunikasi dan layanan mereka kepada pesakit tidak  memuaskan. Pengetahuan perubatan mereka ketika menjawab peperiksaan dahulu kini hanyalah tinggal sisa-sisa debu yang ditinggalkan. Di saat itulah baru kita sedar peri-pentingnya pengaplikasian ilmu itu sendiri yang sebelum ini hanya bermatlamatkan dan berorientasikan peperiksaan.

Ancaman Bagi Orang Berilmu tapi Tidak Beramal

Syeikh Nu’man Bin Abdul Karim Al Watr mengatakan,
“ Di dalam kitab Al-Quran, Allah Taala sering sekali menyebutkan amal soleh yang beriringan dengan iman. Allah juga mencela orang-orang yang mengatakan apa-apa yang mereka tidak kerjakan.  Dan Allah mengkhabarkan bahawa perbuatan mereka itu sangat dimurkai.”
Dalam Surah Al-Saf Allah telah berfirman,
“ Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!  Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.”

Di dalam sahih Bukhari dan Muslim diriwayatkan hadis Usamah bin Zaid RA:
“Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, pada hari kiamat nanti akan ada seseorang yang didatangkan, kemudian dilemparkan ke dalam api neraka. Isi perutnya terburai, sehingga ia berputar-putar sebagaimana berputarnya keldai yang menggerakkan penggilingan. Penghuni neraka pun berkumpul mengerumuninya.” Mereka bertanya , “ Wahai fulan, apakah yang terjadi pada dirimu? Bukankah dahulu engkau memerintahkan kami untuk berbuat kebaikan dan melarang kami dari kemungkaran?”. Dia menjawab, “Dahulu aku memerintahkan kalian berbuat baik akan tetapi aku tidak mengerjakannya. Dan aku melarang kemungkaran sedangkan aku sendiri melakukannya.”
Oleh sebab itu ilmu harus diamalkan kerna tanpa amalan, ilmu itu sudah tentunya tidak mampu memberi manfaaat kepada kebaikan diri sendiri ,kecemerlangan ummah, ketamadunan negara serta kegemilangan islam di mata dunia.
Belum Layak Disebut Alim jika Belum Beramal

Syeikh Abdullah bin Soleh Al-Fauzan berbicara bahawa: “ Ilmu itu tidaklah dituntut melainkan supaya diamalkan. Iaitu dengan mewujudkan ilmu dalam amalan nyata, yang tampak dalam bentuk pola fikir sesorang dan perilakunya.Terdapat nas-nas syariat yang mewajibkan untuk mengikuti ilmu dengan amalan dan agar akibat dari ilmu yang dipelajari muncul pada diri orang yang menuntut ilmu disamping ancaman keras terhadap orang yang tidak beramal dengan ilmunya.”
Seorah lagi tokoh hebat iaitu Fudhail bin ‘Iyadh rahimahullah telah menuturkan satu ucapan yang begitu indah dan terkesan.
Katanya, “Seorang alim itu masih dianggap jahil apabila dia belum beramal dengan ilmunya.Apabila dia sudah mengamalkan ilmunya, maka jadilah dia seorang yang benar-benar alim.”
Ungkapan ini adalah sangat tepat. Hal ini kerana apa yang membezakan antara orang yang berilmu ataupun tidak ialah dari segi olahan tingkahlaku dan amal perbuatannya. Jika perbuatan dan pola fikirnya masih sama dengan orang yang masih jahil sudah tentu tidak banyak beza yang mampu dilihat.
 Analoginya ialah seperti sebuah pasukan yang hebat jika mereka tidak menggunakan kekuatan pasukan tersebut sudah tentu sukar bagi mereka untuk mengalahkan sebuah pasukan lemah yang tidak mempunyai kelebihan apa-apapun.
Oleh itu, penguasaan dan pengaplikasian ilmu dalam kehidupan sangatlah penting dalam mewujudkan lebih banyak kemaslahatan kepada masyarakat dan juga ummah. Apalah adanya ilmu tanpa amal, apalah adanya amal tanpa maslahat dan kebaikan.

Sebarkan Cahaya Hikmah
Ilmu itu bak cahaya. Andai kata dihalangnya dari terserak maka gelaplah keadaannya. Namun jika dibiarkannya bebas menembus rongga-rongga dan celah-celah kawasan maka akan terpancarlah sinarnya. Begitulah kelebihan ilmu. Membawa manusia dari kegelapan kepada satu dimensi harapan. Membimbing insan dari kejahilan kepada ketakwaan. Mendekatkan lagi seorang hamba budiman pada khaliknya tuhan. Namun tidak semua manusia mampu memperoleh ilmu sendirian. Sudah tentu ada gurunya, semestinya ada penyampainya.
Jika kita singkap kembali sirah nabawiyah, baginda Rasulullah telah menampakkan sikap tablighnya. Dikala dikeji dan dikecam, baginda setia mengajar kalam-kalam tuhan. Tatkala dihina dan diseksa, masih mampu mendidik kaumnya mengenal pencipta. Semua ini kerana baginda mempunyai ilmu dan andai kata hanya baginda sahaja yang menguasainya sudah tentu agama Islam tidak akan tersebar ke seluruh pelusuk dunia. Mungkin agama ini tidak akan sampai kepada kita andai kata baginda tidak lelah menyebar risalah.
Baginda junjungan kita pernah bersabda,
“Sesungguhnya Allah tidak akan mencabut ilmu dengan merenggutnya daripada kalangan manusia, namun Allah mencabut ilmu dengan cara mewafatkan para ulama, sehingga apabila Allah tidak menyisakan lagi seorang alim maka manusia akan menjadikan para pembesar mereka daripada kalangan orang-orang jahil, lantas orang-orang jahil itu berfatwa tanpa ilmu, sehingga mereka sesat dan menyesatkan.”

Hadis ini menunjukkan betapa pentingnya para ulama’ dalam mendidik dan menyampaikan ilmu yang benar kepada masyarakat. Namun begitu, segelintir para ulama’ pada hari tidak kiralah dari bidang apa sekalipun, amat berkira ketika menyampaikan ilmu. Sebagai contoh, jika mengadakan ceramah atau majlis keilmuan golongan ini akan mengenakan yuran pendaftaran yang membebankan peserta. Selain itu ada juga dalam kalangan para ilmuan yang hanya menjalankan tugas seperti melepaskan batuk di tangga.
Di samping itu, tidak semestinya, para ilmuan sahaja yang boleh menyampaikan ilmu. Hakikatnya semua insan mampu menyampaikan ilmu yang mereka ada walaupun hanya sedikit asalkan ianya bermanfaat kepada orang lain. Misalannya, jika terdapat kawan kita yang kurang faham akan sesuatu pelajaran maka seandainya kita sudah mahir bolehlah kita berkongsi dengan mereka. Namun terdapat juga yang sombong dan hanya mementingkan diri sendiri. Jikalau mereka sudah faham mereka hanya menyembunyikan untuk diri mereka sendiri. Mereka seolah takut orang lain akan lebih pandai dari mereka. Sedangkan hakikatnya, ilmu itu jika diagihkan ianya bukan akan semakin berkurangan bahkan akan lebih mencambah dan bertambah.
Al-Hafizh Ibnu Katsir rahimahullah mengatakan,´
“ Seorang penuntut ilmu hendaklah memberikan ilmunya kepada penuntut ilmu selainnya dan tidak menyembunyikan suatu ilmu pun kerana ada larangan keras dari Rasulullah terhadap perbuatan tersebut.”
Seperti mana sabda baginda yang berbunyi,
“ Barangsiapa yang ditanya tentang sesuatu ilmu lalu ia menyembunyikannya, maka ia kan dibelenggu pada hari kiamat dengan tali kekang neraka.”

Allah juga ada memberi amaran keras dalam surah Al-Baqarah ayat 159,

“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang teah kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk, setelah kami menerangkannya kepada manusia dalam al-kitab, mereka itu dilaknat Allah dan dilaknat pula oleh semua(makhluk) yang dapat melaknat.”

Selain itu, orang yang mengajarkan ilmu itu juga akan memperoleh ganjaran pahala yang besar. Bayangkan jika orang yang diajarkan ilmu itu mengajarkan kepada orang lain pula, maka sudah tentu akan berlipat gandalah nilai pahala yang akan diperoleh.
Kesimpulan
Kesimpulannya, ilmu itu sangatlah penting dalam mencorakkan masa hadapan sesuatu bangsa. Namun begitu nilai  ilmu itu bukanlah sahaja terletak pada tingginya peringkat ilmu yang diperoleh, namun yang lebih utama adalah pada pengamalannya. Setiap insan haruslah bersungguh-sungguh dalam menguasai sesuatu ilmu dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Disamping itu,nilai ilmu juga akan lebih terserlah andai dikongsi dan disebarkan kepada orang lain supaya ianya bukan hanya bermanfaat kepada diri sendiri tetapi juga kepada umat sejagat.
Oleh itu, marilah kita bergerak bersama memartabatkan kembali nama islam dimata dunia dengan menjunjung martabat keilmuan ke tempat yang selayaknya. Galilah ilmu sedalam-dalamnya dan terjemahkan ilmu itu ke dalam masyarakat kita dengan amal perbuatan. Sebarkanlah juga mutiara hikmah kepada insan lain yang dahagakan ilmu dan tercari-cari makna kebenaran. Tidak mustahil suatu hari nanti Islam akan kembali gemilang di kaca mata dunia.
Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment