ilmuKU , duniaKU - menjana kepintaran melalui Al-Quran.
keep on reading & I will not stop blogging.

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

Monday, February 11, 2013

DERIA KETUJUH MANUSIA UNTUK MENCAPAI DARJAT MUTTAQIN



Pada suatu hari Ahad yang mulia (holy day) 6 April 2008, blog Fikir! Fikir! Dan Fikir! telah menerbitkan artikel saya yang bertajuk ENAM INDERA MANUSIAWI. Artikel tersebut telah menerima beberapa respons daripada pengunjung blog Fikir! Fikir! Dan Fikir!

Seperti yang saya tegaskan dalam ulasan saya pada 8 Oktober 2010 terhadap komentar daripada pengunjung, bahawa saya telah menemui satu lagi deria manusia; deria itu saya namakan deria ke tujuh manusia. Dalam ulasan tersebut juga saya telah berjanji untuk menulis artikel tentang deria ketujuh itu; janji tersebut saya perbaharui pada 25 Julai 2011.

Alhamdulillah! Rasanya, sempena bulan Ramadan al-Mubarak ini, saya sudah mendapat izin untuk menyusun kata-kata bagi menjelaskan apakah deria ketujuh manusia itu.

Saudara sidang pembaca mungkin terkejut dan tidak percaya bahawa faedah deria ketujuh hanya dapat dimiliki oleh semua orang beriman sahaja, meskipun organ deria ketujuh dimiliki oleh seluruh makhluk yang bernama manusia (dan termasuk haiwan). Teruskan pembacaan saudara hingga ke akhir artikel ini.

Sedikit ulangkji mengenai tulisan saya terhadap enam deria manusia adalah seperti berikut:-

Deria bermaksud alat perasa, iaitu alat yang digunakan untuk mengenal pasti, menjangka, meneka dan mengetahui. Alat perasa ini mempunyai organ tertentu yang khusus. Enam deria di atas menggunakan enam jenis organ khusus.

1. Mata -> untuk melihat: deria pandang;
2. Telinga -> untuk mendengar: deria dengar (ada juga yang mengatakan deria bunyi);
3. Lidah -> untuk merasa: deria rasa;
4. Hidung -> untuk menghidu: deria bau;
5. Kulit -> untuk menyetuh: deria sentuh; dan
6. Otak -> untuk berfikir: deria akal.

Jika kita teliti semula maksud deria seperti di atas, nyata bahawa hasil penderiaan oleh setiap deria ialah objek yang subjektif atau konsep, manakala penderiaan itu sendiri adalah perbuatan, kata kerja atau verb. Dengan kata lain, sesuatu objek yang subjektif atau konsep hanya dapat disimpulkan dan diakui kewujudan, keadaan dan sifatnya setelah organ deria melakukan fungsi atau melaksanakan kerjanya. Demikianlah halnya dengan deria ketujuh.

Adapun deria ketujuh ialah deria yakin atau deria iman. Apakah organ yang menjadi alat cerapnya? Organ yang menjadi alat cerap deria ketujuh atau deria iman ini ialah hati, organ yang secara biologisnya dimiliki oleh semua makhluk yang bernama haiwan termasuk manusia. Walau bagaimanapun, hati secara sendirinya tidak mempunyai kemampuan menderia tanpa deria keenam iaitu deria akal; bahkan deria akal juga tidak mampunyai kemampuan menderia tanpa deria ketujuh iaitu deria iman. Ini bermakna deria keenam dan deria ketujuh adalah deria bersandar antara satu sama lain, yang tidak mampu berdiri sendiri. Oleh sebab itu, hati pada seekor haiwan yang bukan manusia bukanlah deria dan tidak akan menjadi deria kerana penciptaan haiwan-haiwan itu tidak dibekali dengan akal atau deria akal.

Organ deria ketujuh ini telah dijelaskan kepada kita oleh Nabi Muhammad s.a.w, lebih 1430 tahun yang lalu. Dan sudah tentu baginda Rasulullah s.a.w ketika menjelaskan organ deria ketujuh ini bukanlah berdasarkan pengetahuannya tetapi berdasarkan wahyu yang diterima olehnya.

Disampaikan kepada seluruh manusia tetapi hanya dibaca dan difahami oleh orang-orang yang beriman hingga ke hari ini bahawa Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:-
“Sesungguhnya dalam diri seseorang itu ada seketul daging. Apabila baik daging itu, maka baiklah orang tersebut”


Kepada para guru dan ustaz, tolong betulkan saya dan lengkapkan info tentang hadis tersebut.

Dalam al-Quran al-Karim, terdapat sejumlah ayat yang secara tegas mengisyaratkan deria ketujuh. Yang berikut adalah petikan terjemahan ayat-ayat al-Quran yang menjelaskan wujudnya deria ketujuh ini.
  1. Allah telah mengunci mati hati dan pendengaran mereka, dan penglihatan mereka ditutup. (QS:2:7)
  2. Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati agar kamu bersyukur. (QS:16:78)
  3. Mereka itulah orang-orang yang telah dikunci mati oleh Allah akan hati mereka,, pendengaran mereka dan penglihatan mereka; dan mereka itulah orang-orang yang lalai. (QS:16:108)

Jelas daripada mafhum ayat dan hadis di atas bahawa HATI adalah organ yang sangat penting dalam tubuh manusia. Sebagai organ yang sangat penting, hati mempunyai peranan penting dalam hidup manusia untuk menuju darjat seorang insan. Oleh sebab itu, hati adalah organ deria ketujuh manusia untuk yakin. Maka tujuh deria manusia adalah seperti yang berikut:-
  1. Mata -> untuk melihat: deria pandang;
  2. Telinga -> untuk mendengar: deria dengar (ada juga yang mengatakan deria bunyi);
  3. Lidah -> untuk merasa: deria rasa;
  4. Hidung -> untuk menghidu: deria bau;
  5. Kulit -> untuk menyetuh: deria sentuh; dan
  6. Otak -> untuk berfikir: deria akal;
  7. Hati -> untuk meyakini: deria yakin atau deria iman


Deriaan deria pandang memberikan jawapan terhadap maujud daripada segi bentuk, sifat dan ciri-cirinya seperti bulat, segi, tinggi, panjang, luas, merah, putih, biru, cantik, hodoh dan sebagainya.

Deriaan deria rasa memberikan jawapan terhadap maujud daripada segi sifatnya seperti manis, masin, masam, pahit dan sebagainya.

Deriaan deria sentuh memberikan jawapan terhadap maujud daripada segi sifat dan ciri-cirinya seperti, lembut, keras, sejuk, panas dan sebagainya.

Deriaan deria dengar memberikan jawapan terhadap maujud bunyi daripada segi sifat dan ciri-cirinya seperti merdu, bising, bermakna (arahan, pernyataan, larangan dan sebagainya), perlahan, kuat dan sebagainya.

Deriaan deria bau memberikan jawapan terhadap maujud daripada segi sifat dan ciri-cirinya seperti wangi, bau, hamis dan sebagainya.

Deriaan deria akal memberikan jawapan terhadap konsep abstrak yang terjangkau oleh akal budi seperti benar, salah, amanah, jujur, ikhlas, culas, baik, jahat, suka, benci, lapar, kenyang dan sebagainya. Dengan kata lain, deriaan deria keenam atau deria akal ialah ilmu.

Deriaan deria iman memberikan jawapan terhadap konsep abstrak yang berpandukan wahyu seperti meyakini wujud Allah Yang Maha Esa, hari kiamat, qadak dan qadar, rezeki, alam berzak, mizan, Lauh Mahfuz dan sebagainya. Dengan kata lain, deriaan deria ketujuh atau deria iman ialah yakin.

Jelas bahawa deria keenam dan deria ketujuh mempunyai ikatan yang sangat erat, yang bersandar antara satu sama lain dan yang mampu membawa manusia kepada suatu pencapaian luar biasa sehingga manusia boleh mencapai darjat insan.

Jika diperhatikan, dua daripada tujuh organ deria manusia seperti di atas terletak dalam tubuh yang mustahil dapat dilihat oleh mata kasar; otak terletak dan tersimpan dalam tempurung kepala atau tengkorak manakala hati terletak dan tersimpan dalam rongga dada. Lima lagi organ yang lain terletak di bahagian luar tubuh yang dapat dilihat oleh mata dengan mudahnya - mata, telinga, hidung, lidah dan kulit.

Secara logik, sesuatu yang amat berharga kepada kita tidak mungkin akan kita simpan secara ala kadar. Bahkan kita akan pastikan ia tersimpan di tempat yang paling selamat. Misalnya, antara seutas gelang emas dan seutas gelang suasa, kita pasti akan menyimpan gelang emas itu di tempat yang paling selamat berbanding gelang suasa. Antara basikal dengan kereta mercedez, kita akan pastikan kereta mercedez tersimpan dengan baik dalam garaj yang lebih selamat.

Oleh sebab itu, kenapa otak dan hati terletak di dalam tubuh (tempat yang paling selamat) tentu juga atas sebab ia sangat berharga. Hanya sanya, manusia kurang menyedari keberhargaannya kepada diri mereka sendiri dan keberhargaannya di sisi Allah s.w.t yang telah menciptakannya.

Petikan terjemahan ayat-ayat al-Quran di bawah ini, (dan banyak lagi ayat-ayat semisalnya), cukup membuktikan betapa deria keenam dan deria ketujuh dapat mendekatkan diri manusia kepada Allah Rabbul Alamin, dan dapat mengangkat darjat manusia kepada kemuliaan di dunia dan diakhirat.
  1. Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang belayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah matinya dan Dia sebarkan di bumi itu angin dan awam yang dikendalikan antara langit dan bumi; sungguh (terdapat) tanda-tanda (keesaan dan kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan. (QS:2:164).
  2. Dan perumpamaan (orang yang menyeru) orang-orang kafir adalah seperti penggembala yang memanggil binatang yang tidak mendengar selain panggilan dan seruan saja. Mereka tuli, bisu dan buta, maka (oleh sebab itu) mereka tidak mengerti. (QS:2:171).
  3. Dan dalam qisas itu ada (jaminan kelangsungan) hidup bagimu, hai orang-orang yang berakal, supaya kamu bertaqwa. (QS:2:179).
  4. Dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui. (QS:2:184)
  5. Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah taqwa dan bertaqwaklah kepada-Ku (Allah) hai orang-orang yang berakal. (QS:2:197).
  6. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu supaya kamu berfikir. (QS:2:219).
  7. Dan Allah menerangkan ayat-ayatNya kepada manusia supaya mereka mengambil pelajaran. (QS:2:221).
  8. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu ayat-ayatNya supaya kamu memahaminya. (QS:2:242)
  9. Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayatNya kepadamu supaya kamu memikirkannya. (QS:2:266)
  10. Dan tidak ada yang dapat mengambil pelajaran kecuali orang-orang yang berakal. (QS:2:269)


Jelas bahwa deria ketujuh manusia adalah mutiara yang akan mengantarkan manusia ke kemuncak kehidupan iaitu tahap muttaqin

Wallahu 'A'lam

FIKIR! FIKIR! DAN FIKIR!

No comments:

Post a Comment