ilmuKU , duniaKU - menjana kepintaran melalui Al-Quran.
keep on reading & I will not stop blogging.

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

Monday, May 30, 2011

Keluarga , masa dan kasih sayang



Ramai anak-anak kini menderita kerana kosong kasih sayang. Wang ringgit dan kebebasan adalah racun yang amat
berbisa. Manusia mencari kekayaan dan kepuasan, sedangkan ia bukannya memberi ketenangan yang hakiki. Mereka akan terus liar mencari sesuatu yang mereka tidak pasti.

     Kasih sayang boleh menjadi pisau yang  melukai dan boleh menjadi pisau penjaga keselamatan. Ramai anak gadis yang sanggup meninggalkan keluarganya kerana mencari kasih sayang manusia yang bernama lelaki, malah ada yang sanggup menukar agama. Ibu bapa menangis kerana merasai kasih sayang yang mereka beri selama ini tidak dihargai. Kadangkala ibu bapa menyayangi anak mereka, tetapi tidak tahu cara mengungkap kasih sayang, menyebabkan anak merasai tidak disayangi.

     Mereka menyayangi dengan sentiasa berleter, tetapi bagi anak itu ia adalah tanda kebencian ibu bapa terhadap dirinya. Apabila anak bertindak di luar dugaan, ibu bapa memarahi anaknya kerana beranggapan anaknya tidak memahami bahawa apa yang dilakukan mereka selama ini adalah kerana kasih sayang. Walhal, kasih sayang itu tanpa sedar telah merosakkan anaknya.

     Keluarga menjadi pincang dalam mentakrif makna kasih sayang. Anak kecil mempunyai pandangan sendiri, anak remaja mempunyai pandangan yang berbeza dan begitu juga anak yang  dewasa. Ibu bapa memerlukan ilmu psikologi yang baik dalam menangani masalah jiwa anak-anaknya. Ibu bapa boleh jatuh dalam kemurkaan Allah jika anak-anak merasai kasih sayang yang dicurahkan ibu bapa berbeza antara seorang dengan yang lain. Lantaran itulah, mereka menyayangi kawan-kawan lebih daripada ibu bapanya sendiri.

     Ibu bapa yang tidak mahu menjatuhkan egonya, adalah ibu bapa yang tidak berjaya dalam menyinarkan cahaya kasih sayang kepada anak-anaknya. Rumah menjadi suram, segala hiasan rumah seolah memandang sinis kepada penghuni-penghuninya. Ia bagaikan berkata, ‘apa pentingnya aku di sini jika penghuninya suka berada di luar rumah’. Kerusi yang cantik dan mahal sudah tidak membawa keselesaan kepada penghuninya, malah penghuninya lebih suka melepak di atas batu-batu keras dan di bangku kedai-kedai makan.

     Ibu bapa yang bercakap seolah-olah mereka sentisa betul adalah ‘pembunuh’ cahaya kasih sayang. Apalagi yang berharga dari anugerah Allah selain dari Iman dan kasih sayang? Ianya perlu dipupuk dan dibaja oleh setiap insan. Setiap ibu bapa seharusnya bertanya setiap masa, apakah benar mereka menghidupkan budaya kasih sayang sehingga anak-anak amat menyayangi mereka?

     Percayalah, anak-anak tidak akan melupakan mereka, anak-anak tidak tergamak melakukan perkara yang tidak baik lantaran malu dan menghargai kasih sayang yang dicurahkan ibu bapanya. Kasih sayang yang hakiki adalah memberi keselamatan kepada anak di dunia dan akhirat. Apabila hendak memberi keselamatan anak di dunia dan akhirat, tiada lain yang hakiki melainkan mengenalkan mereka dengan Allah dan menjadikan sebagai kekasih-kekasih Allah di dunia ini. Itulah pangkat yang tinggi dan mulia.

     Anak-anak akan memberi doa kepada ibu bapanya  lantaran menghargai kasih sayang ibu bapanya. Ibu bapa telah memberi suatu harta yang cukup bernilai dalam hidupnya yang tidak akan hilang walau dimana mereka berada, iaitu hati yang makrifat(mengenal) dengan Allah. Mereka kahwinkan anak-anak mereka berdasarkan iman, bukannya di atas nilaian pangkat dan harta. Menantu yang bertakwa dan mampu memberi kebahagiaan kepada anak mereka di dunia dan akhirat menjadi pilihan utama, walau pun dia tiada berharta. Mereka mudahkan urusan perkahwinan, tidak riak dan angkuh dalam melaksanakan kenduri perkahwinan.

     Mendidik anak dengan keangkuhan dan pembaziran adalah pembunuh kasih sayang. Anak akan jauh dengan Allah dan akhirnya anaknya menjadi hamba nafsu dan syaitan. Lantaran itu, fikirkanlah… adakah kita ibu bapa yang memberi kasih sayang kepada anak-anaknya atau memberi api nerakakepada mereka? Persoalan seperti inilah yang sentiasa hidup di dalam jiwa-jiwa sahabat Nabi SAW.

     Mereka mengutamakan nilai kasih sayang yang hakiki, bukannya kasih sayang ciptaan syaitan dan nafsu. Inilah kasih sayang yang hidup pada generasi awal Islam. Alangkah indahnya kehidupan itu dan alangkah beruntungnya mereka. Mereka kini sedang mengecapi kebahagiaan dan menikmati berbagai-bagai nikmat Allah di alam barzakh sana,  sedang  kita yang bodoh dan buta mati hati terkapai-kapai dan terlena dengan kenikmatan yang sedikit dan sementara ini.

Credit to Al Faqir Tokku Ibrahim Mohamad-Zawiyah Syeikh Abdul Malik

No comments:

Post a Comment