ARKIB : 26/08/2012
Psikologi Buku yang mempunyai 18 bab ini memberikan hujahan secara terperinci mengenai psikologi daripada sudut pandangan Islam dengan mengambilkira konsep yang menjadi pegangan Islam. Tambahan pula beberapa tahun kebelakangan ini sudah terdapat ahli falsafah dan saintis Barat yang mengakui bahawa teori saintifik mereka tentang kejadian manusia adalah terhad. Mereka mengakui tidak mampu menghuraikan kompleksiti dan misteri kehidupan manusia yang tersembunyi dengan teori Barat.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sastera/20120826/sa_03/Psikologi-perspektif-Islam#ixzz2CqU9jupn
© Utusan Melayu (M) Bhd
MAKNA umum psikologi adalah sikap dan proses mental yang berlaku dalam diri seseorang manusia. Sikap adalah perlakuan seseorang yang boleh dilihat oleh orang lain. Sementara proses mental adalah proses dalaman seperti kepercayaan, pemikiran, perasaan dan persepsi terlindung dari pandangan zahir.
Tetapi kajian psikologi kini hanya menggunakan pendekatan sekular Barat sekalipun telah lahir banyak psikologis kalangan Islam. Walaupun pendekatan sekular Barat telah dominan dan diterimapakai sejak lama dulu, kajian daripada sudut pandangan Islam telah terbukti melampaui Barat.
Ini ditandai dengan lahirnya buku Psychology From The Islamic Perspective yang ditulis oleh sarjana Islam, Dr. Aisha Utz, profesor psikologi klinikal, Universiti Sains Kesihatan King Saud bin Abdulaziz, Arab Saudi. Edisi pertama dalam bahasa Arab dan kemudian diterjemah dalam versi bahasa Inggeris yang menyebarluaskan lagi kajian psikologi dari sudut pandangan Islam.
Pengarang berjaya memberikan huraian yang jelas secara saintifik dan juga merujuk kepada keajaiban-keajaiban yang diterangkan dalam al Quran berkaitan dengan alam jiwa setiap manusia.
Buku ini satu titik mula penting memperkenalkan satu kaedah baru psikologi dengan mengambilkira perkara-perkara yang bersifat metafizik dalam Islam. Ia menekankan antaranya hakikat kewujudan manusia terutama roh daripada sudut pandangan Islam yang tidak ada dalam definisi psikologi Barat.
Pengarang membentangkan perbandingan antara Barat dan Islam serta perbezaan antara kedua-duanya. Pengarang tidak menolak terus sudut pandangan Barat terhadap psikologi. Tetapi pada masa yang sama menekankan banyak kelompang dalam sudut pandangan Barat apabila mengabaikan hakikat kewujudan manusia dan roh mengikut konsep Islam.
Pengarang menghurai dan menghubungkait beberapa konsep dalam Islam yang mempunyai hubungan daripada sudut psikologi. Misalnya konsep fitrah, akidah, iman yang semuanya tidak wujud dalam psikologi moden Barat.
Ini sebenarnya kelompang yang dimaksudkan pengarang terhadap pendekatan psikologi sekular Barat. Maka pendekatan psikologi Islam diperlukan untuk merungkai misteri dan kompleksiti yang tidak boleh dilakukan dengan pendekatan Barat. Buku seperti Psychology From The Islamic Perspective ini sebenarnya telah lama dinanti-nantikan kalangan psikologis Islam yang melihat banyak misteri tidak boleh dirungkaikan dengan pendekatan Barat.
Misalnya menerusi bab 13 pengarang menghuraikan konsep kewujudan syaitan, jin dam manusia dalam Islam. Kepada psikologis bukan Islam tentunya ini satu pendekatan baru yang mempunyai hubungan dengan psikologi. Kewujudan syaitan dan jin daripada sudut pandangan Islam bukanlah satu proses mental pada definisi sudut pandangan Barat. Bab ini banyak menghuraikan bagaimana jin yang jahat syaitan sentiasa berusaha mempengaruhi manusia keluar dari landasan yang ditentukan oleh Islam. Semua ini tidak ada dalam psikologi pendekatan Barat.
Sementara bab 14 pula menghuraikan psikologi tidak normal dan sakit mental. Pengarang memberi fokus kepada dua kelompok besar sakit mental iaitu rasa bimbang dan kesedihan melampau. Menurut pengarang, daripada sudut pandangan Islam perkara ini berlaku disebabkan oleh lemah semangat terhadap pengalaman pahit yang pernah dilalui. Pengarang menekankan semangat menjadi faktor utama berlakunya keadaan ini tanpa menafikan faktor-faktor lain yang juga turut mempengaruhi seseorang.
Menerusi buku ini ternyata banyak ilmu dalam al Quran yang belum diterokai oleh manusia untuk kebaikan manusia lain. Dalam bidang psikologi misalnya, sejak sekian lama dulu pendekatan Barat yang menjadi rujukan padahal dalam Islam sudah ada kunci yang boleh merungkaikan keajaiban yang misteri yang tidak ditemui oleh Barat. Dengan lahirnya buku ini, sarjana sekaligus psikologis Islam telah mengemukakan pendekatan yang sewajarnya dilangsungkan oleh sarjana Islam lain untuk memantapkan lagi ilmu psikologi daripada sudut pandangan Islam.
Ini juga sebagai bukti bahawa sejak dulu lagi Islam merintis ilmu dalam bidang sains dan matematik yang kemudiannya diteruskan oleh Barat. Usaha pengarang membuktikan pendekatan dan konsep dalam Islam mampu mengatasi lingkungan pencapaian saintifik Barat yang sangat terhad itu.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sastera/20120826/sa_03/Psikologi-perspektif-Islam#ixzz2CqU9jupn
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment