ilmuKU , duniaKU - menjana kepintaran melalui Al-Quran.
keep on reading & I will not stop blogging.

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

Thursday, November 15, 2012

Kewangan Islam sudah mantap: Zeti


Timbalan Perdana Menteri Turki, Ali Babacan (dua dari kiri) bersama Zeti melihat buku keluaran International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance di Forum Kewangan Islam Global (GIFF) di Kuala Lumpur, semalam.
Kuala Lumpur: Sektor kewangan Islam tidak perlu melaksanakan penjenamaan semula untuk menarik penyertaan lebih banyak pihak ke dalam sektor itu, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Beliau berkata, kewangan Islam sudah diterima secara meluas di negara bukan Islam serta firma antarabangsa. 
“Saya pernah ditanya beberapa tahun dulu sama ada (sektor kewangan Islam) perlu dijenamakan semula kerana terdapat ‘cakap-cakap’ yang mengaitkan sektor itu sebagai ‘pengganas kewangan.’ 

Perkongsian keuntungan

“Dalam pembentangan itu, saya menekankan bahawa kewangan Islam adalah urus niaga ekonomi membabitkan perkongsian keuntungan serta kontrak berkaitan perkongsian risiko yang disertakan dengan tahap tinggi pendedahan maklumat urus niaga kewangan,” katanya kepada media di luar Forum Kewangan Islam Global (GIFF) di sini, semalam.

Jelasnya, maklumat yang telah dikongsi kepada masyarakat dunia mengenai sektor kewangan Islam di samping standard peraturan diperkenalkan oleh Bank Negara pada 2002 mencukupi untuk meletakkan jenama sektor itu di kedudukan yang mantap.

“Sektor kewangan Islam benar-benar diketahui sebagai kewangan umum, justeru perubahan atau penjenamaan semula sektor itu tidak diperlukan buat masa ini,” katanya. 
Banyak terbit sukuk 

Zeti berkata, sektor kewangan Islam di Malaysia contohnya, lebih 50 peratus penyertaan dalam sektor itu terdiri daripada penduduk bukan beragama Islam manakala lebih banyak firma asing dari negara bukan Islam yang menerbitkan sukuk.

“Firma pertama yang menerbitkan sukuk di Malaysia ialah Shell yang bukan dari negara berpenduduk (majoriti) Islam dan ia disusuli syarikat lain seperti Tesco, Nomura dan Toyota,” katanya.

Mengenai kemungkinan Malaysia akan menerbitkan lagi sukuk global, Zeti berkata kerajaan perlu membuat pertimbangan sewajarnya sebelum menerbitkan sukuk global dalam tempoh terdekat ini selepas kali terakhir berbuat demikian pada tahun lalu.

“Terdapat pertimbangan besar bagi kerajaan untuk memasuki tahap baru dalam hutang asing. Pertamanya, kerajaan tidak mahu meningkatkan paras hutang. Kedua, dalam masa sama kerajaan juga tidak mahu meningkatkan paras hutang asing,” katanya.

Zeti berkata, secara relatifnya, hutang asing Malaysia adalah rendah dan itu adalah antara perkara yang perlu diberi penekanan.

No comments:

Post a Comment