BANDAR SERI BEGAWAN – Fakulti Bahasa Arab dan Tamadun Islam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) petang tadi telah mengadakan Wacana Shama’il Rasulullah S.A.W, bertajuk Pentadbiran Islam Era Rasulullah S.A.W, yang berlangsung di Dewan Jubli, UNISSA.
Wacana berkenaan dihadiri oleh pegawai dan kakitangan kerajaan dan swasta, mahasiswa/i UNISSA dan orang awam.
Dua tenaga akademik Fakulti Bahasa Arab dan Tamadun Islam, Dr Abdol Raub bin Yaccob dan Muhammed Sahrin bin Haji Masri menyampaikan wacana hasil kajian ilmiah masing-masing.
Menurut Dr Abdol Rauh Yaacob, walaupun pentadbiran Islam lahir bersama-sama kelahiran perutusan kerasulan Nabi Muhammad SAW, namun kebanyakan orang menganggap ia adalah satu pentadbiran mudah.
Beliau menjelaskan Era Mekah telah memperlihatkan perlaksanaan prinsip pentadbiran Rasulullah dalam menguruskan kerja-kerja dakwah dan pendidikan masyarakat Islam yang pertama.
Manakala Era Madinah pula mempamerkan prinsip pentadbiran yang terancang dan teliti dalam membentuk masyarakat dan negara Islam yang pertama melalui beberapa program seperti penyatuan Ummah, pembinaan masjid sebagai fokus pendidikan Islam di samping pembentukan perlembagaan negara.
Oleh itu satu kajian yang mendalam amat diperlukan bagi meneliti takrifan dan amalan pentadbiran Islam iaitu pertama, pentadbiran dalam Islam hendaklah dilihat berasaskan kepada prinsip syariah yang diambil daripada Al-Quran dan Hadis seperti prinsip Syura, Baiah, Khalifah, keadilan dan seumpamanya yang dipraktiskan oleh junjungan Nabi Muhammad S.A.W. Keduanya, pentadbiran Rasulullah S.A.W yang dilaksanakan di Mekah dan Madinah.
Sementara itu, Awang Muhammed Sahrin mengatakan bahawa Rasulullah S.A.W juga berjaya membentuk pentadbiran kerajaan Islam pertama dengan memulakan tiga dasar yang amat penting iaitu membina masjid, mempersaudarakan golongan Muhajirin dan golongan Ansar dan Sahifah Madinah.
Selain itu, mereka menyimpulkan bahawa Baginda Rasulullah S.A.W telah membawa satu perubahan besar bagi masyarakat Arab dengan memindahkannya dari suatu corak kehidupan tradisi kepada satu corak kehidupan yang baru.
Wacana berkenaan bertujuan untuk menjadi wadah perantaraan bagi universiti dengan masyarakat umum dan berkongsi maklumat serta pengetahuan keistimewaan Bahasa Arab yang menjadi bahasa rasmi Al-Quran.
Di samping itu, ianya dihasratkan agar dapat memberikan pengajaran untuk menghayati kehidupan dan pengamalan sirah Rasulullah S.A.W untuk dijadikan contoh uswah dan qudwah hasanah di dalam kehidupan seharian.
No comments:
Post a Comment