ilmuKU , duniaKU - menjana kepintaran melalui Al-Quran.
keep on reading & I will not stop blogging.

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

Tuesday, September 6, 2011

Pesan Guruku: buat mereka yg bakal, sedang dan sudah lama dalam alam perkahwinan


Salam pada semua, ramai anakanda yang baru, sudah, sudah lama dan juga yang akan mendirikan rumahtangga. Maka dengarlah pesan ini jika ianya memberi manfaat, “wahai anakkku, jadikan takwa sebagai tapak dalam pembinaan rumahtanggamu, tanpa tapak yang kukuh, maka bangunan yang indah walau disaluti permata akan runtuh berkecai.

Dengan takwa, nafsumu diikat, fikiranmu terjaga, segala tindakan dan keputusan penuh dengan hati-hati. Pada suami, ingatlah, isterimu bukan milikmu mutlak, dia hanya amanah yang dititip Allah padamu, dia dicipta sebagai teman kebahgiaanmu, maka jangan engkau mudah sewenangnya melakukan apa yang kamu mahu, Tuan bagi isterimu sentiasa memerhati akan tindakanmu, di akhirat ia akan bersoaljawab denganmu.

Wanita adalah kecintaan dan penyejuk jiwa Rasulullah saw ketika hidup, kecintaan dan kebimbangan Baginda saw terhadap wanita sehingga dijadikan isi khutbah Baginda pada Haji Wida’ dalam memelihara hak wanita. Isterimu dicipta mempunyai keindahan dan kehalusan pada fizikal dan jiwa. Jiwa mereka penuh dengan emosi sehingga mereka layak memikul tanggungjawab sebagai ibu serta pendampingmu yang paling setia. Mereka suka melayani, cinta disayangi, mahukan perlindung, pembimbing, penolong dan kekuatanmu.

Himpunkan dua sifat dalam membimbing mereka iaitu tegas dan lembut. Jangan ketegasanmu menghilangkan kelembutan dan kasih sayang, belaskasihan dalam hatimu, jangan kelembutanmu hingga hilang ketegasamu. Kesabaran adalah buah takwa dan ia menjadi penawar bagi jiwa yang rindukan maqam cinta di sisi Allah.

Kamu jangan terlalu harapkan kesempurnaan isterimu, maka kesabaran adalah pakaian bagi lelaki yang sejati disebalik keberanian dan ketegasan. Terimalah kelemahannya dan hadapi dengan sabar, redha dan bijaksana. Setiap kesabaranmu adalah pembuka pintu tangga kewalian. Jangan kamu hebohkan permasalahankamu,nanti akan jatuh maruah isterimu sedangkan maruah bagaikan aurat yang perlu ditutup oleh para suami yang sejati dan bertanggungjawab.

Bagi sang isteri, tetap dengan sifat cinta, lemah lembut, kepekaan anugerah Allah padamu, hadapi suamimu dengan cinta dan kesabaran, jangan terlalu mengharapkan kesempurnaan, nanti dirimu akan kecewa, hadapi suamimu dengan lemah lembut, nanti mereka akan jatuh dan mendengar nasehatmu, jangan kemarahan engkau hadapi dengan kemarahan, jangan engkau menjawab malah diam adalah lebih mulia dan bijaksana. Beri nasehat dan perbetulkan suamimu ketika masa yang baik. Ego lelaki perlu dipelihara kerana ia adalah senjata dalam memelihara maruah diri dan keluarganya.

Jangan kamu rendahkan suamimu di hadapanmu apalagi di luar rumahmu, kekurangan dirinya adalah hadiah Allah untuk kamu mujahadah dalam mencapai cinta Allah. Allah mencinta wanita yang sabar, lembut dan bijak, himpun tiga sifat ini nescaya suamimu akan bahagia denganmu.

Jadikan dirimu adalah pembantu bukan pembeban, kekasih bukan musuh, penasehat bukan ketua, penawar bukan racun. Tutuplah keaiban mereka, jika terlalu melampau, maka minta nasehat mereka yang layak bukan mengadu ke sana sini. Ramai wanita yang menangis apabila kehilangan suami kerana rasa menyesal tiada melakukan sepenuh kebaikan pada suami ketika bersama. Rumahtangga adalah berlian untuk akhiratmu, maka hargailah berlian jangan sampai kamu tiada pandai menilainya, nanti kamu menyesal apabila tiada ditanganmu. Semoga dirahmati dan diberkati Rumahtangga oleh Allah.

No comments:

Post a Comment