ilmuKU , duniaKU - menjana kepintaran melalui Al-Quran.
keep on reading & I will not stop blogging.

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

Saturday, August 27, 2011

Takbir - Lambang Kesyukuran Di Hari Raya






Oleh : Mufti Brunei

ﺑﺴﻢ ﺍﷲ ، ﻭﺍﳊﻤﺪ ﷲ ، ﻭﺍﻟﺼﻼﺓ ﻭﺍﻟﺴﻼﻡ ﻋﻠﻰ ﺭﺳﻮﻝ ﺍﷲ ، ﻭﻋﻠﻰ ﺁﻟﻪ ﻭﺻﺤﺒﻪ ﻭﻣﻦ ﻭﺍﻻﻩ

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda) 

Setiap kali tibanya Hari Raya, seruan takbir akan berkumandang di masjidmasjid, rumah-rumah persendirian dan di kaca-kaca televisyen, begitu juga di corong-corong radio apabila diumumkan anak bulan Syawwal telah nampak dilihat. Dengan bergemanya takbir itu, semakin terasalah kemeriahan suasana Hari Raya. 

Menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri dengan bermain mercun atau bermain bunga api bukanlah cara yang dianjurkan oleh ajaran Islam dan bukan cara memuliakan kedatangan hari yang mulia itu. Apatah lagi perbuatan ini juga boleh menjurus  kepada bahaya dan pembaziran yang dicela oleh Islam. Islam mempunyai  caranya yang tersendiri semasa merayakan hari-hari kebesarannya. 

Kita umat Islam seharusnya sedar bahawa Hari Raya Aidilfitri adalah kurnia daripada Allah  Subhanahu wa Ta‘ala sebagai hadiah kemenangan kepada umat Islam, kerana kita telah berjaya melaksanakan ibadah puasa dengan menahan diri daripada hawa nafsu dan perkara-perkara yang dilarang ketika berpuasa.  

Pada hari kemenangan tersebut, kita disunatkan untuk meraikannya dengan melaungkan takbir. Ini kerana dengan bertakbir, kurniaan Hari Raya Aidilfitri akan dapat dirasai dan  dihayati sehingga melahirkan rasa kesyukuran atas kebesaran serta keagungan Allah  Ta‘ala, sesuai dengan maksud takbir iaitu mengagungkan Allah  Subhanahu wa Ta‘ala dengan melafazkan kalimah ‘Allahu Akbar’.  Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala  dalam al-Qur’an: 

Tafsirnya:  “Dan juga supaya kamu  cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.”

 (Surah Al-Baqarah: 185) 

Lafaz Takbir Hari Raya 

Lafaz takbir Hari Raya sebagaimana yang di sebut dalam kitab-kitab fiqh ialah: 

Ertinya: “Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah dan Allah Maha Besar, Allah Maha  Besar dan segala puji-pujian hanya layak bagi Allah.” 

Lafaz takbir tersebut disunatkan membaca sebanyak 3 kali. 

Disunatkan selepas bertakbir tiga kali itu membaca:

“Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar Yang Teramat Besar, Segala Puji bagi 
Allah Yang Teramat Banyak, Maha  suci Allah pada waktu pagi dan petang, tiada Tuhan melainkan Allah, dan Tidak ada lain yang kami sembah melainkan Dia, kami ikhlas kepadaNya (mengikuti ajaran agama Islam) sekalipun  dibenci oleh orang-orang kafir, tiada Tuhan melainkan Allah Yang Tunggal, Yang Menepati janjiNya, Yang Menolong hambaNya, dan Yang Memuliakan tenteraNya dalam mengalahkan tentera al-Ahzab dengan sendiri (KekuasaanNya), Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar dan segala puji-pujian hanya bagi Allah.”

Waktu Melaungkan Takbir 

Takbir pada Hari Raya Aidilfitri dinamakan sebagai takbir mursal atau  muthlaq iaitu takbir yang tidak  terikat waktunya selepas sembahyang bahkan sunat dilaungkan pada bila-bila masa sahaja sehinggalah imam mengangkat takbiratulihram untuk menunaikan sembahyang Hari Raya Aidilfitri.  

Takbir Hari Raya Aidilfitri ini  berbeza dengan takbir Hari Raya Aidiladhha. Takbir pada Hari Raya Aidiladha dinamakan takbir muqayyad, dan ia sunat dilaungkan setiap kali selepas menunaikan sembahyang fardhu atau sembahyang sunat dan berterusan sehingga selesai menunaikan sembahyang Ashar pada hari Tasyriq yang terakhir. 

Imam Ibnu Hajar  Rahimahullahu Ta‘ala, salah seorang daripada ulama ‘asy-Syafi‘ieyyah berkata:

“Sunat melaungkan takbir (Hari Raya Aidilfitri) sama ada di rumah-rumah, di jalan-jalan, di masjid-masjid dan di pasar-pasar dengan suara  jahr atau yang nyaring, bermula dari terbenam  matahari pada malam Hari Raya dan berterusan sehingga imam mengangkat takbiratulihram pada sembahyang Hari Raya. Ini kerana takbir itu adalah sebagai syi‘ar
bagi menandakan waktu Aidilfitri itu telah tiba maka adalah lebih awla dikerjakan atau disambut dengan takbir.”

Melaungkan takbir dengan suara jahr adalah disunatkan bagi kaum lelaki sahaja, dan bagi perempuan atau  khuntsa, tidak disunatkan melaungkannya dengan suara  jahr ketika ada orang lain yang bukan mahram hadir bersama mereka. 

Manakala had waktu bertakbir bagi orang yang sembahyang sunat Hari Raya secara bersendirian pula, adalah dikira sehingga dia mengangkat takbir sembahyang Hari Raya Aidilfiri. 

Menurut asy-Syabramallisiy  Rahimahullah, Apabila bertepatan malam Hari Raya itu dengan malam Jumaat, maka hidupkanlah pada malam tersebut dengan bertakbir, membaca surah al-Kahfi dan bershalawat kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. 

Dengan bertakbir itu sudah cukup membuktikan bahawa Hari Raya Fitri bukan Hari untuk kita berpesta bahkan untuk  kita beribadat dengan melafazkan rasa syukur di atas anugerah Allah  Ta‘ala melalui takbir dan ibadat-ibadat lain yang kita lakukan. 

Dengan ini juga membuktikan bahawa Hari Raya orang Islam berbeza sekali konsepnya dengan Hari Raya orang bukan Islam, apatah lagi ia disambut sebaik sahaja selesai menunaikan ibadah puasa. Kalau orang bukan Islam berhari raya hanya sekadar untuk berhibur dan bergembira, maka kita sebagai umat Islam bukan itu cara dan konsepnya.  

Oleh itu, meriahkanlah suasana  Aidilfitri itu dengan melaungkan takbir kerana menyambut Hari   Raya Aidilfitri  beserta laungan takbir adalah satu ibadah dan syi‘ar bagi kita sebagai melahirkan rasa syukur kita kepada Allah Subhanhu wa Ta‘ala.  

Untuk membaca lafaz takbir Hari Raya Aidilfitri sila klik :                

   http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2008/bil296.pdf

No comments:

Post a Comment