ilmuKU , duniaKU - menjana kepintaran melalui Al-Quran.
keep on reading & I will not stop blogging.

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

Sunday, August 14, 2011

Pemuda Bani Tamim : Panji-Panji Hitam Dari Khurasan

1. Panji-panji Hitam Keluar dari Khurasan
2. Pemuda Bani Tamim Tidak Pernah Kalah

3. Wajib Membaiat Pemuda Bani Tamim

4. Pemuda Bani Tamim Berasal Dari Syam

5. Pemuda Bani Tamim Berperanan Besar

6. Pemuda Bani Tamim Berasal dan Keluar Dari Timur
7. Pemuda Bani Tamim Berasal dan Keluar Dari Timur


1. Panji-panji Hitam Keluar dari Khurasan

A. Dari Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda,
“Akan keluar dari Khurasan Panji-panji Hitam. Maka (Panji-panji Hitam itu) tidak dapat ditolak oleh sesuatu apa pun sehinggalah ditancapkan di Ilya’. (At-Tarmizi)
B. Sabda Nabi SAW,
“Jika kamu semua melihat Panji-panji Hitam datang dari arah Khurasan, maka sambutlah ia walaupun kamu terpaksa merangkak di atas salji. Sesungguhnya di tengah-tengah panji-panji itu ada Khalifah Allah yang mendapat petunjuk.”Maksudnya ialah al-Mahdi. (Ibnu Majah, Abu Nuaim & al-Hakim)
Pemuda Bani Tamim itu akan mendatangi Khurasan iaitu dalam perjalanannya menuju ke Makkah atau Syam. Di sana beliau akan mendapat Panji-panji Hitam yang sebenar, bukan lagi panji-panji hitam yang dibuat sebelumnya. Panji-panji Hitam itu adalah panji-panji yang pernah digunakan oleh Rasulullah SAW dahulu, sewaktu peperangan menghadapi kaum kafir dan Yahudi.

Dari Khurasan, mereka menuju pula ke Ilya’ iaitu satu bandar tidak jauh dari Baitulmaqdis. Sepanjang perjalanan yang jauh itu, mereka sentiasa diberi kemenangan oleh Allah SWT terhadap siapa jua penentangnya, yang sangat risau terhadap kemaraan tentera Allah itu. Kuasa baru yang amat hebat ini amat menggerunkan hati setiap musuh Allah sehingga hati mereka terasa sangat-sangat sempit, bagaikan sempitnya dada orang yang sedang mendaki ke atas langit. Ketakutan dan kegerunan yang mereka rasakan ketika itu akan segera dibalas oleh Allah dengan dijatuhkan mereka di hadapan umat Islam yang dipimpin oleh Pemuda Bani Tamim.

Pemergian mereka ke Ilya’ itu tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mencari Imam Mahdi, iaitu orang yang paling berhak ke atas pemerintahan seluruh dunia ini, sebab Pemuda Bani Tamim hanyalah penyedia tapak untuk pemerintahan Imam Mahdi, bukan dia yang memerintah dunia ini. Namun beliau adalah pembantu kanan Imam Mahdi dan kedudukan ini tidak dapat disangkal lagi, kerana telah dijelaskan oleh hadis-hadis.

2. Pemuda Bani Tamim Tidak Pernah Kalah

A. Sabda Nabi SAW,
“Al-Mahdi akan datang setelah munculnya Panji-panji Hitam dari sebelah Timur yang mana pasukan itu selalu tidak pernah kalah dengan pasukan mana pun.” (Ibnu Majah)
Sesiapa yang membaiat Pemuda Bani Tamim sebagai pemimpinnya, maka bererti dia telah menjalankan perintah Rasulullah SAW seperti yang disabdakan oleh baginda SAW dalam banyak hadis. Satu perkara lagi yang perlu diketahui, sebagai satu cara menaikkan semangat kita dalam berjuang pada akhir zaman ini ialah bahawa pasukan Pemuda Bani Tamim tidak akan pernah dikalahkan oleh mana-mana pasukan pun.

Ini adalah satu kelebihan yang tidak mampu dimiliki oleh sebarang pemimpin. Namun, Rasulullah SAW sudah menyatakan demikian, dan dengan itu, wajiblah pula kita mempercayai dan meyakininya sebagai mana sepatutnya. Bagi yang memang berhati pejuang, ini adalah peluang terbaik dan terbesar sepanjang sejarah umat Islam untuk kita menabur bakti dan menyumbang jasa terhadap perkembangan Islam ke seluruh dunia buat kali kedua. Zaman Ummah Kedua diasaskan oleh Pemuda Bani Tamim dan disempurnakan oleh Imam Mahdi, seterusnya disambung lagi oleh Nabi Isa AS.

3. Wajib Membaiat Pemuda Bani Tamim

A. Dari Abdullah bin Umar RA katanya,
“Adalah Rasulullah SAW bersama-sama dengan sekumpulan Muhajirin dan Ansar. Ali bin Abi Talib KMW di sebelah kirinya dan Abbas di sebelah kanannya, ketika Abbas dan seorang lelaki dari kalangan Ansar bertelagah. Sahabat Ansar itu bercakap dengan agak kasar kepada Abbas. Maka Rasulullah SAW memegang tangan Abbas dan tangan Ali lalu bersabda, “Daripada keturunannya (sambil menunjukkan Abbas) akan datang seorang pemuda yang akan memenuhkan dunia ini dengan penindasan dan kezaliman, dan daripada keturunannya (sambil menunjuk Ali) muncul seorang lelaki yang akan memenuhkan dunia ini dengan keadilan dan kesaksamaan. Jika kamu semua melihat yang demikian, berbaiatlah kepada Pemuda dari Bani Tamim itu yang datang dari arah Timur. Dialah pemilik Panji-panji Al-Mahdi.” (At-Tabrani, Abu Nuaim, Al-Khatib & Al-Kidji)
B. Kata Sauban RA,
“Kemudian baginda SAW menyebutkan sesuatu yang aku tidak berapa ingat, kemudian bersabda, “Kalau kamu semua melihatnya, datangilah mereka walaupun terpaksa merangkak di atas salji kerana padanya ada Khalifah Allah, iaitu Al-Mahdi.” (Ibnu Majah)
C. Dari Sauban RA katanya Rasulullah SAW bersabda,
“Apabila kamu melihat Panji-panji Hitam datang dari arah Khurasan, bersegeralah mendatangi mereka, walaupun terpaksa merangkak di atas salji kerana padanya ada Khalifah Allah, Al-Mahdi.”
D. Dari Sauban RA katanya Rasulullah SAW bersabda,
“Panji-panji Hitam akan datang dari arah Timur, hati mereka bagaikan kepingan-kepingan besi. Sesiapa yang mendengar mengenai mereka, datangilah mereka walaupun terpaksa merangkak di atas salji.”
E. Sabda Nabi SAW,
“Akan keluar dari sulbi ini (Sayidina Ali KMW) seorang pemuda yang akan memenuhkan dunia ini dengan keadilan. Maka apabila kamu meyakini yang demikian itu, hendaklah kamu turut menyertai Pemuda dari Bani Tamim itu. Sesungguhnya dia datang dari sebelah Timur dan dialah pemegang Panji-panji Al-Mahdi.” (At-Tabrani)
Apabila Pemuda Bani Tamim mendapat kuasa di Timur, naiknya sebagai pemerintah tidaklah sama seperti naiknya pemerintah hari ini. Pemuda Bani Tamim mendapat kuasa lalu segera menjalankan pemerintahannya menurut cara yang diasaskan oleh Islam iaitu pemimpin dibaiat, bukannya diundi seperti sistem Barat yang digunakan pada hari ini. Kerana itu, setiap orang Islam wajib mendatangi dan membaiat Pemuda Bani Tamim sebagai pemimpin mereka zahir dan batin, dari dunia hinggalah ke akhirat.

Sistem politik dari Barat yang sedang digunakan pada hari ini akan dimansuhkan sama sekali, melibatkan semua bentuk dan semua perkara, bermula dari yang sebesar-besarnya hinggalah kepada yang sekecil-kecilnya. Politik akan berubah warna sama sekali. Hari ini kita tidak dapat memikirkan bentuknya lagi, dan hanya akan kita ketahui apabila masanya tiba nanti. Hanya Pemuda Bani Tamim sahaja yang tahu benar bentuk dan selok-belok sistem politik yang diasaskan oleh Rasulullah SAW dan telah dilaksanakan oleh baginda SAW dengan jayanya di Madinah dahulu.

Dan diulang sekali lagi oleh hadis ini bahawa apabila Pemuda Bani Tamim muncul dan mendapat daulah di Timur, bererti kemunculan Imam Mahdi sudah menjadi suatu keyakinan, tidak dapat dipolemik atau dipertikaikan oleh mana-mana pihak pun. Kemunculan Imam Mahdi ditandai oleh kemunculan Pemuda Bani Tamim.

5. Pemuda Bani Tamim Berasal Dari Syam

A. Kata tabiin RH,
“Sebelum al-Mahdi, raja Syam akan terbunuh, (diikuti oleh) terbunuhnya raja Mesir. Bangsa Syam akan menawan kabilah daripada Mesir. Seorang lelaki dari Timur berangkat mengibarkan Panji-panji Hitam, yang dikatakan dia itu adalah (berasal dari) bangsa Syam dan dialah yang akan menyerahkan kekuasaannya kepada al-Mahdi.”
Perkara ini banyak diperbincangkan terutamanya oleh kalangan penduduk Syam yang berketurunan dari Bani Tamim. Jumlah mereka memang sedikit dan masing-masing saling mengenali, serta tahu pula susur galur keturunan setiap orang dari mereka. Setiap suku dari kalangan mereka menyangka dan berharap Pemuda Bani Tamim yang dimaksudkan itu datang dari kalangan suku masing-masing.

Namun, jika ucapan tabiin ini diperhatikan sungguh-sungguh, nyatalah bahawa Pemuda Bani Tamim itu bukan lahir dari kalangan mereka, tetapi lahir dan dewasa di Timur. Tapak perjuangannya juga bermula dan berkembang di Timur. Malah, tapak daulah yang didirikannya itu pun bermula di Timur juga. Syam adalah tempat terakhir yang akan ditujunya. Dan bangsa Syam yang dimaksudkan itu hanya asal-usul nenek moyangnya sahaja, bukan lagi tempat dia dilahir dan dibesarkan.

Dari Syam, sebahagian daripada mereka ini turun ke Yaman dan tinggal di sana beberapa lama untuk membentuk sebuah komuniti yang minoriti, kemudian sebahagian keturunannya berpindah lagi ke Kepulauan Melayu ini. Sebahagiannya masih tinggal di Yaman dan masih ada hingga ke hari ini. Sebahagian yang lain berpindah ke benua kecil India dan menyerap masuk sebagai sebahagian penduduk Islam di sana pula. Di Kepulauan Melayu inilah mereka bergaul dengan penduduk tempatan sehingga keturunan mereka pun akhirnya menjadi sama dengan, atau sebahagian daripada penduduk tempatan. Sebutan Arabnya hilang dan yang tinggal adalah sebutan Melayunya sahaja. Arabnya hanyalah pada keturunannya sahaja, atau asal-usulnya.

6. Pemuda Bani Tamim Berperanan Besar


A. Sabda Nabi SAW,
“Orang ramai daripada Timur (Pemuda Bani Tamim dan para pengikutnya benar-benar) akan muncul, kemudian menyerahkan kekuasaannya kepada al-Mahdi.”
B. Daripada Abdullah bin Umar RA katanya, bersabda Nabi SAW,
“Al-Mahdi akan keluar di bawah panji-panjinya dan ada suara yang menyerukan: “Inilah Al-Mahdi Khalifah Allah, maka ikutilah dia.” (At-Tabrani, Abu Nuaim & Al-Khatib)
Orang ramai yang dimaksudkan itu adalah kumpulan Ikhwan yang dipimpin oleh Syuaib bin Saleh. Mereka akan mendirikan tapak daulah Islamiah yang sebenar. Setelah tapak daulah itu siap dan hanya menanti Imam sebenar untuk mendudukinya, mereka akan mencari Imam Mahdi untuk diserahkan tapak daulah berkenaan. Ikhwan ini sifat-sifatnya sama dengan para sahabat pada awal Islam. Istilah Ikhwan itu adalah untuk membezakan antara mereka dengan para sahabat RA.
Jika pada zaman awal Islam dahulu, istilah Sahabat digunakan untuk menunjukkan orang yang rapat dengan Rasulullah SAW, maka pada akhir zaman ini istilah Ikhwan digunakan. Kedua-dua istilah Sahabat dan Ikhwan ini bukan reka-rekaan Imam Mahdi atau Pemuda Bani Tamim, tetapi ditunjukkan sendiri oleh Rasulullah SAW melalui hadis-hadis sahih.
Mahu tidak mahu, setiap kumpulan orang ramai pasti ada ketuanya, atau pemimpinnya. Dan bagi Ikhwan ini, tidak syak lagi pemimpinnya adalah Pemuda Bani Tamim sendiri. Peranan besarnya adalah membentuk pasukan Ikhwan ini, mendidik dan mengasuh mereka sehingga menjadi tepat seperti yang dinyatakan oleh hadis-hadis Rasulullah SAW.
7. Pemuda Bani Tamim Berasal dan Keluar Dari TimurA. Sabda Nabi SAW,
“Pembawa bendera al-Mahdi adalah seorang laki-laki daripada suku Tamim yang datang dari Timur.”
B. Ammar bin Yasir RA berkata,
“Pembawa Panji-panji Al-Mahdi adalah Syuaib bin Saleh.”
Kedua-dua penyataan ini menjelaskan dan membuat penegasan bahawa pembawa Panji-panji Imam Mahdi itu adalah Syuaib bin Saleh, berasal dari keturunan Bani Tamim dan tempat kelahirannya adalah di Timur. Jelaslah bahawa memang muktamad bahawa Pemuda Bani Tamim yang digelar Syuaib bin Saleh itu adalah orang yang datang dari kalangan bangsawan Quraisy, dari Bani Tamim, tetapi nenek moyangnya telah berhijrah ke Timur, bercampur dengan orang-orang Timur, dan akhirnya melahirkan pembantu kanan Imam Mahdi itu. Penyataan mengenai hal ini sudah pun disebutkan pada bahagian sebelum ini.

Panji-panji yang dimaksudkan itu adalah tapak daulah Imam Mahdi, selain maksud sebenar panji-panji hitam itu. Sesiapa yang mendapat daulah di Timur, maka tidak syak lagi bahawa dialah Pemuda Bani Tamim yang dimaksud oleh hadis-hadis, dan keperibadian yang cukup rahsia itu terbongkar pada hari itu. Susur galur keturunannya tidak perlu lagi diselongkar, kerana memang telah muktamad dia itu Pemuda Bani Tamim kerana hadis sudah mengesahkannya berkali-kali, bukan setakat sekali sahaja.

No comments:

Post a Comment