SYURGA ‘AJILAH
Rumahku mahligaiku syurgaku.
Semua orang mengimpikan syurga, bukan sahaja di akhirat, bahkan juga di dunia ini. Hakikatnya rumah tangga adalah syurga ‘Ajilah, iaitu syurga yang didahulukan di dunia ini.
Rumah tangga yang bagaimanakah yang dipanggil syurga ‘Ajilah? Semestinya rumah tangga yang dibina daripada tiang-tiang kasih sayang, mawaddah, sakinah, qanaah dan redha.
Kata ahli sufi: “Carilah syurga ‘Ajilah yang berupa ketenangan hati kerana barangsiapa yang tidak mendapat syurga di dunia lagi, maka sukarlah ia mendapat syurga di akhirat nanti!”
Lahirnya ketenangan dalam sebuah perkahwinan adalah pada qurratu a’yun iaitu hadirnya pasangan sebagai penyejuk di mata dan anak-anak sebagai penawar di hati. Suami isteri yang beriman dan beramal soleh akan menjana aktiviti amal soleh di dalam bahtera rumah tangga sehingga lahirlah kehidupan yang tenang sebagaimana firman ALLAH SWT:
“Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki atau perempuan, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik…” – Al-Qur’anul Karim; Surah An-Nahl ayat 97.
BAHTERA DI LAUTAN BERGELORA
Ketenangan yang dicari, seringkali pula bertukar menjadi sebaliknya. Panas yang disangka bertahan hingga ke petang, rupa-rupanya hujan pula yang melanda di tengahari.
Hal ini mungkin boleh terjadi disebabkan tiang-tiang yang dibina berdasarkan kasih sayang, rasa cukup apa adanya dan keredhaan tadi masih belum cukup utuh dan kukuh sehingga terkadang apabila datang badai merempuh, terumbang-ambing pula jadinya.
Agak mengejutkan apabila statistik yang diperolehi daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menunjukkan sebanyak 27,116 kes perceraian telah direkodkan pada tahun 2009. Kesemua kes ini melibatkan pasangan yang beragama Islam. Institusi kekeluargaan yang sepatutnya berfungsi untuk mengembangkan Islam berakhir dengan keruntuhan, yang sudah tentunya melemahkan ummah.
Jumlah ini tidak termasuk bilangan pasangan yang masih bertahan dan bergelut dengan keganasan dalam rumah tangga masing-masing.
Profesor Madya Dr. Sajaratul Nisah Othman, Ketua Jabatan Perubatan Rawatan Utama, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, dalam kuliahnya yang bertajuk Domestic Violence, mendedahkan seorang daripada 7 orang wanita yang mendatangi Bahagian Perubatan Rawatan Utama PPUM (Pusat Perubatan Universiti Malaya) dihimpit masalah keganasan rumah tangga. Manakala, kadar keganasan rumah tangga yang dapat dikesan di Pusat-Pusat Rawatan Utama berkadar antara 8.5 – 41%.
Itulah realiti yang berlaku pada hari ini.
Rumah tangga yang dibina atas dasar iman dan taqwa tidak mungkin ditemui keretakan padanya. Bayangkan kalau setiap pasangan suami isteri mematuhi perintah ALLAH SWT dan mengikuti sunnah panduan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam kehidupan berumah tangga, pasti tidak akan berlaku keretakan, salah faham, prasangka, bertikam lidah dan sebagainya. Yang ada hanyalah kasih sayang dan ketenangan. Inilah syurga dunia yang dijanjikan oleh Yang Maha Esa.
HIKMAH DI BALIK PERNIKAHAN MANUSIA AGUNG
Rasulullah SAW telah memberikan contoh tauladan yang baik bagaimana menjadi seorang suami yang baik. Baginda SAW sering membantu isterinya melakukan kerja-kerja rumah yang dapat baginda lakukan sendiri seperti menjahit baju, memasak, membersihkan halaman rumah dan lain-lain. Sifat ringan tangan suami membantu isteri melakukan kerja-kerja rumah bukan sahaja meringankan tugas isteri, tetapi menimbulkan rasa hormat pada isteri. Isteri merasakan dirinya lebih disayangi dan dihormati.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Orang yang baik antara kamu adalah orang yang paling berlaku baik terhadap isterinya dan akulah orang yang paling baik terhadap isteri dari kalangan kamu.” – Riwayat Tirmizi.
Islam menggesa si suami agar berurusan dan bermuamalah dengan isteri dengan cara yang paling baik sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
“Tanggungjawab suami terhadap isterinya adalah apabila kamu makan, hendaklah kamu beri makanan untuk isterimu. Apabila kamu memakai pakaian, kamu berikan pakaian untuk isterimu. Jangan kamu pukul isterimu pada bahagian muka. Jangan kamu keluarkan perkataan yang jahar di hadapannya iaitu perkataan yang menyakiti hati dan dibenci. Jangan kamu tinggalkan isterimu seorang diri kecuali dalam rumah.” – Riwayat Abu Daud.
Berhadapan dengan isteri yang kadang-kadang bermacam ragam juga telah diajarkan oleh Rasulullah SAW.
Rasulullah SAW biasa memegang hidung ‘Aisyah. Jika dia (‘Aisyah) marah, Rasulullah SAW berkata: “Wahai Uwaisy, bacalah doa: “Wahai Tuhanku, Tuhan (yang mengutusi) Muhammad, ampunilah dosa-dosaku dan hilangkanlah kekerasan hatiku dan lindungilah diriku daripada fitnah yang menyesatkan.” – Riwayat Ibnu Sunni.
Sebagaimana isteri, suami juga mempunyai hak-hak ke atas isterinya. Telah berkata Ibnu Abbas r.a. bahawa: “Seorang perempuan dari Khats’am datang kepada Rasulullah SAW lalu berkata: “Aku ini gadis yang telah dewasa, aku ingin sekali berkhawin. Maka apa hak suami itu?” Rasulullah SAW bersabda:
“Hak suami yang ada pada isteri adalah jika suami menginginkannya, maka dia tidak boleh menolaknya. Janganlah isteri memberikan sesuatu dari dalam rumahnya kecuali dengan izin suami. Jika isteri melakukan demikian, maka dia berdosa dan pahalanya untuk suami. Termasuk haknya pula hendaklah seorang isteri tidak berpuasa kecuali setelah ia mendapat izin dari suaminya. Jika dia lakukan (tanpa izinnya) maka dia hanya lapar dan dahaga sahaja serta puasanya tidak diterima. Dan jika isteri keluar tanpa izin dari suaminya, maka malaikat melaknatinya sampai dia kembali ke rumahnya atau bertaubat.”
Sesungguhnya kewajipan seorang isteri terhadap suaminya sangat banyak. Yang paling penting adalah menjaga dan menutupi. Rasulullah SAW bersabda:
“Kalau boleh aku perintahkan kepada seseorang agar bersujud kepada seseorang, nescaya aku perintahkan kepada perempuan agar bersujud kepada suaminya kerana betapa besar hak suami kepada isteri.”
Sungguh terlalu banyak contoh ikutan yang dapat dicicipi daripada hikmah-hikmah perkahwinan manusia paling agung ini. Seandainya bahtera rumah tangga yang dibina mengalami kegoyahan, maka berbaliklah kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah.
FALSAFAH LIMA JARI
Pasangan anda adalah anugerah yang tidak ternilai buat anda. Pernah dengarkah tentang falsafah lima jari? Tahukah anda mengapa cincin perkahwinan disarungkan ke jari manis, bukan di jari-jari lain?
Kini satukan kedua-dua belah tangan anda dan bengkokkan jari tengah ke dalam. Kemudian, empat jari yang lain dipertemukan di hujungnya.
1. Ibu Jari
Cuba buka ibu jari anda. Ibu jari boleh dibuka kerana ibu jari mewakili kedua-dua orang tua anda. Kelak suatu hari nanti, pasti kedua-duanya akan pergi meninggalkan anda buat selama-lamanya. Tutup kembali ibu jari.
2. Jari Telunjuk
Buka pula jari telunjuk anda. Jari telunjuk mewakili adik-beradik. Mereka juga bakal meninggalkan keluarga dan mengorak hala tuju masing-masing apabila tiba masanya. Tutup kembali jari telunjuk.
3. Jari Kelingking
Cuba pula buka jari kelingking yang paling kecil, ianya mewakili anak-anak anda. Lambat-laun, apabila anak-anak mempunyai keluarga sendiri, mereka juga akan meninggalkan anda. Tutup kembali jari kelingking.
4. Jari Manis
Dan sekarang, cuba buka jari manis, yang mana anda menyarungkan cincin perkahwinan padanya. Hairan kan mengapa anda tidak dapat membuka jari manis. Jari manis tersebut mewakili suami atau isteri anda. Tiada yang dapat memisahkan anda dan pasangan anda, kerana anda berdua telah ditakdirkan untuk bersama sehidup semati. Jadi, hargailah pasangan anda!
Thumb represents parents.
Index finger represents siblings.
Center finger represents own self.
Fourth finger represents your partner.
Last finger represents your children.
- Chinese’s philosophy
KESIMPULAN
Perkahwinan yang menjadi syurga dunia adalah titik tolak kepada syurga abadi yang menanti di sana. Syurga dunia ini lahirnya daripada kasih sayang dan rahmah yang terkandung di dalamnya. Firman ALLAH SWT yang bermaksud:
“Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya dan dijadikanNya antara kamu rasa kasih sayang dan rahmah.” – Surah Ar-Ruum (30) ayat 21.
RUJUKAN
1. Ustaz Ahmad Baei Jaafar. Jalan Keluar: Syurga Rumah Tangga Menjadi Neraka? Solusi Mac 2011; 29: 25-26.
2. Pahrol Mohamad Juoi. Formula Mencipta Syurga Rumah Tangga. Solusi Mac 2011; 29: 16-19.
3. Muhammad Abu Syauqi Banna. Begitu Romantis Rasulullah SAW: Memetik Hikmah di Balik Pernikahan Manusia Agung. Kemilau Publika Sdn. Bhd; November 2010.
4. Sajaratul Nisah Othman, Noor Azmi Mat Adenan. Domestic Violence Management in Malaysia: A Survey on the Primary Health Care Providers. Asia Pacific Family Medicine 2008, 7:2.
5. Chinese’s philosophy.
2. Pahrol Mohamad Juoi. Formula Mencipta Syurga Rumah Tangga. Solusi Mac 2011; 29: 16-19.
3. Muhammad Abu Syauqi Banna. Begitu Romantis Rasulullah SAW: Memetik Hikmah di Balik Pernikahan Manusia Agung. Kemilau Publika Sdn. Bhd; November 2010.
4. Sajaratul Nisah Othman, Noor Azmi Mat Adenan. Domestic Violence Management in Malaysia: A Survey on the Primary Health Care Providers. Asia Pacific Family Medicine 2008, 7:2.
5. Chinese’s philosophy.


No comments:
Post a Comment