ilmuKU , duniaKU - menjana kepintaran melalui Al-Quran.
keep on reading & I will not stop blogging.

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

Thursday, February 24, 2011

Institut Kemahiran Baitulmal

Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) ditubuhkan pada tahun 1991 bertujuan untuk membantu membasmi kemiskinan di kalangan keluarga Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Malaysia amnya dengan cara memberikan mereka mengikuti latihan kemahiran yang tersusun supaya mereka boleh berdikari setelah tamat mengikuti kursus di IKB.

Idea awal penubuhan IKB telah dicetuskan oleh Y. B. Tan Sri Yusuf Noor, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan pada ketika itu. Hasil daripada itu, beberapa siri perbincangan telah dijalankan dengan tertubuhnya jawatankuasa Penubuhan Pusat Latihan yang dipengerusikan oleh Y. Bhg. Prof. Dato’ Dr. Othman bin Haji Ishak yang kemudiannya diambil alih oleh Y. B. Dato’ Dr. Abdul Hamid bin Othman pada tahun 1989.

Perletakan batu asas pembinaan IKB telah dibuat pada 18 Januari 1990 dan pada 5 Disember 1990 blok pertama bangunan IKB dapat disiapkan. Bermula pada 18 Mac 1991 bersamaan 1 ramadhan 1411 H, IKB mula beroperasi dengan seramai 7 orang kakitangan dan 3 kursus sahaja ditawarkan iaitu Kursus Jahitan Pakaian Lelaki, Kursus Jahitan Pakaian Wanita dan Kursus Senilukis Kreatif dan Kemasan Semburan. Di awal penubuhannya, IKB diberi nama sebagai Pusat Latihan Fakir Miskin yang kemudiannya ditukar kepada Pusat Latihan Kemahiran Baitulmal (PLKB). Namun demikian melihat kepada perkembangan kursus dan tahap persijilan yang ditawarkan maka nama tersebut ditukar kepada Institut Kemahiran Baitulmal pada tahun 1995.

Peranan IKB terus diluaskan dengan terbinanya bangunan 4 tingkat yang disiapkan pada tahun 1994. Dengan adanya bangunan baru ini, IKB telah menambah 3 kursus lagi pada tahun 1995 iaitu Kursus Kejuruteraan Elektrik, Kursus Masakan dan Katering dan Kursus Batik dan Cetakan Tekstil dengan jumlah kakitangan meningkat kepada 32 orang.

Pihak IKB telah mengorak langkah dengan mengadakan kerjasama dengan pihak Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia bagi mendapatkan pengiktirafan dan pengeluaran sijil. Dan usaha IKB ini berjaya di mana semua kursus di IKB diiktiraf oleh JPK.

Pada dasarnya, penubuhan IKB oleh Majlis Agama islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) adalah sebagai menyalurkan bantuan secara tidak langsung kepada para belia Islam yang tinggal di Wilayah Persekutuan. Dalam hal pemilihan calon pelatih, pihak IKB tidak menekankan soal pencapaian akademik tetapi lebih kepada soal pendapatan keluarga atau dengan kata lain taraf kehidupan keluarga lebih diberi penekanan. Pihak MAIWP merasakan amat perlu memberi penekanan kepada pemberian ilmu kemahiran kepada masyarakat yang kurang berkemampuan selain daripada bantuan kewangan dan lain-lain bantuan secara langsung. Adalah menjadi harapan MAIWP, para lepasan IKB akan berusaha untuk memperbaiki kehidupan keluarga dan secara tidak langsung juga dapat mengelakkan para remaja terlibat dengan perkara-perkara yang tidak sihat.

Pada asasnya perbelanjaan pengurusan di IKB ditanggung sepenuhnya oleh Baitulmal Wilayah Persekutuan. Dalam hal ini, para pelatih yang diterima masuk IKB tidak perlu untuk membayar apa-apa yuran pengajian. 



Penubuhan IKB adalah berdasarkan kepada objektif-objektif seperti berikut:-

1. Untuk menyediakan peluang latihan kemahiran kepada golongan berpendapatan rendah yang beragama Islam di Wilayah Persekutuan.

2. Untuk membimbing pelatih supaya boleh berdikari dan bersedia menceburi bidang perniagaan.

3. Untuk membantu mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja mahir dan separa mahir di sektor awam dan swasta.



03-92830385

No comments:

Post a Comment