ilmuKU , duniaKU - menjana kepintaran melalui Al-Quran.
keep on reading & I will not stop blogging.

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

Tuesday, November 23, 2010

Ulang tahun ke-64 parti disambut sederhana.

2010/05/12 - utusan malaysia

KUALA LUMPUR: Sambutan Ulang Tahun Umno ke-64 berlangsung dalam keadaan sederhana tetapi meriah dengan kehadiran kira-kira 3,000 ahli dan pemimpin parti dari seluruh negara.

Majlis dimulakan dengan pelepasan peserta ekspedisi kembara ke Tanah Suci tepat jam 7 malam oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, diikuti dengan solat Maghrib berjemaah, tahlil, bacaan Yasin, doa kesyukuran dan solat Isyak. Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Seri Norainee Abdul Rahman; bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. Turut serta pada majlis bersejarah itu, veteran Umno, Tan Sri Sabaruddin Chik, Tengku Razaleigh Hamzah, pemimpin sayap parti dan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN).

Selepas menunaikan solat Isyak berjemaah, Perdana Menteri dan barisan kepemimpinan Umno berarak masuk ke Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi memulakan acara sambutan Ulang Tahun ke-64 Umno.

Di dalam dewan, acara bermula dengan bacaan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, sebelum diteruskan dengan nyanyian lagu Negaraku dan upacara menaikkan bendera Umno ‘Sang Saka Bangsa’.

Bagi mendapat keberkatan, majlis Ulang Tahun Umno diteruskan dengan bacaan doa oleh Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut, sebelum diserikan dengan upacara memotong pulut kuning sebagai simbolik perasmian majlis yang menjadi simbol perjuangan orang Melayu di negara ini.

Pada majlis berkenaan juga, tokoh wartawan Tan Sri Zainuddin Maidin, diumumkan sebagai penerima Anugerah Melayu Terbilang, atas jasa dan pengalaman luasnya yang sudah berkecimpung dalam bidang kewartawanan bagi mengangkat martabat bangsa Melayu dalam pelbagai bidang termasuk penulisan dan bidang yang berkaitan.

No comments:

Post a Comment