2010/05/18
DUBAI: Setiausaha Agung Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Prof Ekmeleddin Ihsanoglu, menggesa supaya satu mesyuarat menteri peringkat tinggi diadakan bagi merencana satu rancangan yang Islamik untuk berinteraksi dengan dunia Barat berhubung Islamofobia.
Beliau berkata, pelan itu juga perlu mengandungi mekanisme ke arah "mempertahan perjuangan yang hak dan dalam menghadapi gelombang kebencian terhadap Islam. "Saya juga mencadangkan supaya persoalan mengenai Islamophobia disertakan dalam interaksi oleh semua negara anggota dengan rakan sejawatan di dunia Barat," katanya dalam ucapan di sesi ke-37 Majlis Menteri-menteri Luar OIC yang dirasmikan di Dushanbe, Tajikistan hari ini. Beliau secara tidak langsung menyebut mengenai keputusan melarang pembinaan menara masjid di Switzerland berikutan pungutan suara oleh rakyat negara itu dan kini menjadi undang-undang.
"Kami merasakan tindakan ini sebagai anjakan paradigma yang membimbangkan, membangkitkan manifestasi mengenai Islamofobia di Eropah dari peringkat individu sehingga kepada undang-undang," katanya.
Beliau berkata, tindakan itu telah menghalalkan sikap prasangka terhadap orang Islam dan ini melanggar hak asasi orang Islam berhubung kebebasan beragama.
Menurut Ihsanoglu, undang-undang baru negara itu telah mengakibatkan kesan yang serius.
"Sebenarnya, gelombang kebencian terhadap Islam dan pendatang Islam menjadi satu komoditi politik dan peluang untuk "menangguk di air keruh" oleh parti-parti politik dalam kempen pilihan raya mereka," katanya.
Ihsanoglu berkata, usaha untuk mencapai kemajuan sebenar dalam bidang ini memerlukan interaksi secara terus serta berdedikasi di pihak negara anggota OIC dengan para pegawai dunia Barat.
Malaysia diwakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dalam mesyuarat tiga hari itu.
Selain keperluan untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang ekonomi, Malaysia juga akan membangkitkan isu berhubung usaha membasmi kemiskinan dan kerjasama dalam bidang sains dan teknologi. - Bernama
No comments:
Post a Comment