SAYA diminta oleh rakan-rakan Cina Muslim supaya berhenti menulis dalam kolum ini kerana kepada mereka penulisan saya itu merugikan dakwah, yakni menjauhkan orang bukan Islam daripada Islam.
Lebih teruk lagi saya dituduh menyamar dalam blog untuk mempertahankan diri daripada diserang oleh ulat-ulat ultra kiasu yang sebenarnya mereka yang menyamar untuk menyerang saya. Terus terang, saya tidak ada masa untuk menyamar sana sini, lagipun saya tidak berminat melayan ulat-ulat ini dengan merendahkan pemikiran saya sama seperti mereka. Terima kasih banyak terhadap mereka memahami perjuangan saya dan terus memberikan suntikan semangat untuk saya terus berkarya.
Cuma izinkan saya untuk menjawab kenapa saya terus menulis dalam akhbar ini dan seterusnya dimasukkan dalam blog saya. Tidak ada manusia yang rasional yang mahu mencari masalah. Kita mahu berkawan dengan semua orang tanpa mengira bangsa dan darjat keturunan kerana kita semua adalah pendakwah. Tanggungjawab berdakwah adalah tanggungjawab semua, bukan tanggungjawab mereka yang bergelar ustaz atau ustazah sahaja. Tidak ada niat langsung untuk menjauhkan bukan Islam daripada Islam. Saya hanya ingin membawa pembaca mengenali diri saya yang lahir dalam sebuah keluarga totok Cina yang tinggal dalam persekitaran Melayu. Keadaan ini tidak menjadikan saya Melayu, apatah untuk menjadi lebih Melayu dari Melayu. Saya tidak pernah lupa asal-usul, apatah lagi untuk mengkhianati bangsa sendiri.
Saya berpegang kepada prinsip berani kerana benar, takut kerana salah. Memang pahit untuk menelan kebenaran, apatah lagi bila menyentuh soal bangsa. Tetapi apa boleh buat, bila berlaku pertembungan antara kepentingan bangsa dan agama dan negara, maka kepentingan agama dan negara mesti diutamakan. Jika apa yang saya katakan itu tidak benar, marilah sama-sama kita buktikan. Jika kumpulan ultra kiasu ini terlalu baik bagi kita, buktikan sifat-sifat kemalaikatan mereka? Apakah mereka benar-benar dapat menyelamat agama dan negara kita? Jika ditakdirkan mereka memerintah nanti, apakah agama Islam benar-benar dapat dimartabatkan? Saya tidak mengatakan bahawa keadaan hari ini sudah baik. Tetapi sudah tidak ada jalan lainkah sehingga kita terpaksa berkawan dengan musuh? Musuh yang memang sudah kita kenali sejak dahulu lagi iaitu musuh dalam selimut dan musang berbulu ayam.
Saya tidak menjadi masalah jika kawan sepakatan itu benar-benar ikhlas dan bukan musuh Islam. Tetapi mereka sudah berterus terang sejak dahulu lagi, supaya langkah mayat mereka jika mahu menegakkan Islam. Masih tidak kenalkah lagi musuh itu?
Masih kita boleh bersangka baik dengan musuh itu? Musuh kita itu bukan sahaja berada di luar, malah ada juga di dalam.
Lihatlah campur tangan mereka dalam hal ehwal dalam agama kita. Mereka begitu bersatu hati. Kita pula sebaliknya, asyik berpecah dan menyalahkan UMNO. Ada yang sanggup berkata UMNO laknatullah, UMNO Zionis dan sebagainya. Adakah wajar untuk kita bertindak sedemikian? Seburuk-buruk UMNO, jasa mereka tetap ada selama 52 tahun memimpin kerajaan. Begitu juga dengan peranan pembangkang sebagai check and balance.
Sebagai ahli akademik dalam bidang politik dan kerajaan, saya fikir saya berhak memberikan pendapat sedemikian. Lagipun penulisan saya adalah dalam bidang kepakaran saya.
Saya tidak boleh biarkan otak menjadi tumpul dengan tidak diasah atau hanya membaca bahan-bahan akademik sahaja seperti jurnal. Kita perlu tahu perkembangan semasa. Saya tidak mahu menjadi segelintir ahli akademik hanya fokus menulis jurnal sahaja, sehingga mengabaikan tanggungjawab sosial untuk menyedarkan khalayak. Kita sedia maklum bahawa kebanyakan penulisan jurnal langsung tidak dibaca oleh khalayak. Mungkin ahli akademik akan marah kepada saya atas hujah ini. Saya juga menulis dalam jurnal, tetapi penulisan tersebut tidak cukup untuk mengatakan kita adalah seorang ahli akademik hebat. Penulisan jurnal ada kekuatannya tersendiri. Tetapi kita tidak boleh hanya terlalu bergantung kepada jurnal. Tidak semestinya penulisan jurnal itu akademik, di luar jurnal tidak akademik. Ia bergantung sejauh mana penulisan itu dibuat dan sejauhmana kita dapat mengajak khalayak berfikir.
Menyedarkan
Pada saya, ahli akademik hebat ialah mereka yang dapat membuka pemikiran dan menyedarkan khalayak.
Menyedarkan khalayak bangun berjuang terutama dalam pembinaan sebuah negara bangsa. Terlalu banyak menyelidik sehingga tidak tahu apa yang berlaku di luar sana pun tidak boleh juga. Lebih menyedihkan lagi bila penyelidikan dan penulisan tersebut tidak dapat dimanfaatkan. Oleh kerana syarat naik pangkat itu dengan menulis jurnal, maka kitapun menulis secara ekstrem sehingga lupa tanggungjawab yang lain.
Justeru, saya menyeru kepada kita semua agar cuba menjadikan khalayak dapat berfikiran lebih jauh kerana berfikir sejenak lebih baik daripada sembahyang sunat berpuluh-puluh rakaat, itulah janji Nabi. Thinking is the highest form of learning process. Apalah ertinya kita boleh menulis berkajang-kajang dalam jurnal, sedangkan pemikiran itu tidak dimuntahkan kepada khalayak untuk difahami. Kadang-kadang saya sedih melihat kita seolah-olah syok sendiri, bergerak dalam dunia sendiri. Bahan penulisan tidak dibaca, bila bercakap, bahan yang dibicarakan tidak menarik perhatian dan tidak berjaya menjadikan khalayak berfikir lebih jauh. Mereka dengan dunia mereka sahaja.
Saya fikir ini tidak betul. Dengan sebab itu, pangkat profesor di negara kita berbeza sedikit dengan profesor di negara maju.
Di negara maju, mereka yang dilantik ke jawatan profesor adalah mereka yang kaya dengan ilmu dan pengalaman yang dapat dimanfaatkan oleh khalayak. Seorang ahli perniagaan yang tidak ada kelayakan akademik, tidak mustahil dilantik menjadi profesor disebabkan kekayaan pengalamannya itu untuk dikongsikan dengan khalayak. University of hard knocks atau universiti pengalaman kadangkala lebih banyak manfaatnya kepada sasaran khalayak.
Logiknya memang jelas. Misalnya profesor akademik dalam bidang bisnes. Profesor ini boleh menulis berkajang-kajang dalam jurnal sehingga dilantik menjadi profesor dan profesor jusa A, B dan C atau mungkin turus. Namun profesor ini langsung tidak ada pengalaman dalam bidang bisnes. Mungkin juga profesor ini hanya menambah ilmu melalui buku karangan pengalaman ahli perniagaan tersebut. Sedangkan kita sedia maklum, mereka yang hebat adalah mereka yang pernah jatuh bangun dalam perniagaan dengan ciptaan-ciptaan dan rekaan-rekaan yang hebat. Henry Ford, pengasas Ford Motor Co. pengeluar kereta Ford yang dikagumi dunia.
Begitu juga dengan Konosuke Matsushita, pengasas barangan barangan elektrik sehingga berjaya menubuhkan Matsushita Electric Industrial Co. Rata-rata mereka ini tidaklah mempunyai kelayakan akademik yang hebat, tetapi kehebatannya diserlahkan melalui ciptaannya sehingga diakui dan dimanfaatkan seluruh dunia. Sejak kecil lagi mereka sudah menunjukkan minat dalam bidang penyelidikan enjin dan permotoran berbanding perladangan yang diusahakan oleh ibubapanya. Hari ini, ada kalangan mereka yang telah pergi. Mereka bukan sahaja berjaya membuktikan kepada dunia, namanya terus disebut-sebut dalam industri yang diceburi. Mereka layak diangkat menjadi profesor yang sebenar.
Pun begitu, Ford dan Matsushita masih tidak dapat menandingi kehebatan Nabi Muhammad SAW. Begitu juga tokoh-tokoh hebat di dunia. Rasulullah adalah seorang yang tidak tahu membaca dan menulis. Tetapi kehebatan ketokohannya dikagumi dunia. Hatta tidak seorangpun yang boleh menandingi Baginda seperti yang dinukilkan oleh Michael Hart dalam bukunya The 100, a Ranking of the Most Influential Persons in History. Hart menobatkan Nabi Muhammad SAW sebagai nombor satu mengalahkan Nabi Isa, Nabi Musa, Buddha serta tokoh sains terhebat seperti Isaac Newton, Einstein, Galileo dan sebagainya. Ringkasnya, kita dapat katakan Rasulullah adalah bapa kepada segala profesor. Semua manusia merujuk Quran dan hadis sebagai sumber panduan.
Saya selalu bercakap kepada golongan akademia, kita perlu berpijak di bumi nyata. Misalnya, saya sempat mengenali beberapa profesor dalam bidang dakwah kepada bukan muslim. Mereka boleh bercakap dan menulis dalam jurnal berjela-jela panjangnya. Tetapi seorangpun tidak masuk Islam di tangan profesor tersebut. Maknanya ilmu tidak berpijak di bumi nyata atau down to earth, tidak boleh diaplikasikan dalam konteks khalayak. Kenapa? Kerana mereka kurang pengalaman. Syok dengan dunia sendiri. Mereka masuk dan keluar dari hutan Orang Asli atau berdakwah kepada orang Cina, tetapi mereka tidak dapat menyelami psikik golongan sasaran.
hakikat
Saya mohon maaf jika ada mereka yang bergelar profesor tersinggung dengan tulisan ini, tetapi itulah hakikat sebenar. Saya mengakui, tidak semua profesor sedemikian, saya hanya menyentuh segelintir daripada mereka yang terlalu bersifat akademik sehinggakan penulisan dan percakapan mereka langsung tidak dapat difahami.
Mereka hanya boleh berbangga dengan berkata, inilah standard aku. Namun bila mereka berpijak di bumi nyata, berhadapan khalayak, percakapan dan penulisan mereka hambar dan tidak difahami.
Mungkin ada juga yang berhujah dengan mengatakan, penulisan mereka itu adalah untuk golongan tertentu. Jika begitulah keadaannya, ilmu ini hanya untuk golongan tertentu sahaja. Sedangkan kita sedia maklum, Nabi Muhammad SAW mempunyai pengetahuan yang begitu luas bukan untuk orang Islam atau bangsa tertentu sahaja. Tetapi ilmu yang dibawa oleh para anbiya adalah untuk seluruh makhluk yang ada di muka bumi.
Justeru, saya amat tertarik dengan saranan Timbalan Perdana Menteri bahawa kenaikan pangkat mereka ke jawatan profesor tidak hanya semata-mata dinilai dengan penulisan jurnal, tetapi perlu juga dilihat sejauhmanakah mereka dan penulisan serta penyertaan mereka dapat dimanfaatkan oleh khalayak dan menjadi khalayak berfikir lebih jauh.
Kenyataan ini bertepatan dengan apa yang diucapkan oleh Perdana Menteri pada 9 Mac lalu, sekiranya terdapat profesor yang amat berwibawa dan tersohor umpamanya, profesor itu boleh memperoleh gred lebih tinggi daripada naib canselor. Ini satu perubahan yang menetapkan kepada penilaian seseorang itu dari segi tahap keilmuan yang ada pada seseorang. Perdana Menteri meletakkan nilai penguasaan ilmu itu dan kemahiran yang ada pada seseorang ahli akademik menjadi tunggak utama
Saya akan mengharapkan Majlis Profesor Negara (MPN) yang ditubuhkan benar-benar dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk mengalirkan ilmu kepada sasarannya, bukan terhad kepada golongan tertentu sahaja. Akademia perlu berkata benar, walaupun ia pahit.
UTUSAN MALAYSIA - 9 Mei 2010 / 25 Jamadil Awal 1431
No comments:
Post a Comment