Dalam seharian kita banyak berbicara tentang adat dan pantang larang yang kadangkala disandarkan kepada Islam tanpa asas. Namun perkara yang bathil itu kadangkala meresap dalam minda secara turun temurun dan ia dianggap benar. Kadangkala juga kita menganggap ia sunnah walhal ia tidak pernah datang dari Sunnah. Perkara ini akan berlaku dan pernah disebutkan oleh Rasulullah S.A.W.
Daripada Abdullah Bin Mas'ud, Diriwayatkan oleh Al-Imam Darimin dalam musnad Ad-Darimin:
"Apa akan terjadi kepada kamu nanti (nasib kamu), apabila fitnah (bid'ah) itu menyelubungi kamu, sehingga orang-orang yang tua telah tua dalam keadaan fitnah itu, dan anak-anak kecil membesar dalam keadaan fitnah itu, dan orang ramai menganggap fitnah itu adalah sunnah (sesuatu yang dilakukan dan diajarkan oleh nabi) sehingga apabila ditinggalkan sesuatu dari amalan fitnah itu, mereka mengatakan "engkau telah meninggalkan sunnah"
Apakah sudah berlaku situasi yang sebagaimana disebut oleh Rasulullah? Marilah kita kumpulkan beberapa salah faham dalam masyarakat yang bercanggahan dengan nas syarak.
Takbir Raya sebelum hari raya menyebabkan arwah menangis/sedih?
Apakakah benar seperti yang orang-orang tua kita katakan? Pernahkah kita bertanya kepada mereka di manakah mereka mendapat dalil Al-Quran dan hadith tentang itu? Sebenarnya perkara ini tidak terdapat dalam mana-mana nas sebaliknya menyanggahi nas itu sendiri.
اِنَّكَ لاَ تُسْمِعُ الْمَوْتَى
“Sesungguhnya kamu tidak dapat menjadikan orang-orang mati itu mendengar”.
(Surah An-Naml, 27:80)
وَمَا یَسْتَوِى اْلاَحْیَآءُ وَلاَ اْلاَمْوَاتُ ، اِنَّ اللهَ یُسْ مِعُ مَ نْ یَّشَ آءُ ، وَمَ ا اَنْ تَ بِمُسْ مِعٍ مَّ نْ فِ ى
الْقُبُوْرِ.
“Dan tidak sama orang-orang yang hidup dan orang-orang yang mati,
sesungguhnya Allah memberikan pendengaran kepada siapa yang dikehendakiNya. dan kamu sekali-kali tiada sanggup menjadikan orang yang dalam kubur dapat mendengar”. (Surah Al-Fathir:22)
Dalil di atas sudah cukup menafikan dakwaan tidak tepat oleh masyarakat kita. Dari segi logiknya pun sudah tertolak kerana takbir raya bernada sedih hanya berlaku di Malaysia manakala takbir raya di masjidil haram dilaungkan dengan penuh nada semangat.
Korek hidung batal puasa?
Adakah benar dakwaan bahawa korek hidung membatalkan puasa? Di manakah dalil-dalilnya? Setelah diteliti perkara ini tidaklah bersandarkan pada dalil sebaliknya menyanggahi dalil itu sendiri.
...berlebih-lebihlah dalam memasukkan air ke dalam hidung (memasukkan secara sepenuhnya) kecuali ketika berpuasa. (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 2366, at-Tirmidzi, no. 788, an-Nasa’e, no. 87)
Basuh muka dan badan ketika puasa adalah makruh?
Dakwaan bahawa hukumnya makruh adalah sangat bertentangan dengan dalil sunnah. Walhal hukum sebenarnya adalah sunat.
Hadis yang sahih yang diriwayatkan oleh al- Imam Malik di dalam al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud: Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan:
“Telah berkata sahabah yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-‘Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”
Dengan itu Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) menyatakan:
“Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kepalanya (ketika puasa) disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebahagian sahabah bahawa mereka melihat Rasulullah di al-‘Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.” (Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, 2/18, Beirut: Dar al-Fikr).
Maka tidak menjadi kesalahan mereka yang letih atau kekeringan ketika bertugas membasahkan kepala atau mandi demi menambahkan kesegaran dan meneruskan urusan. Agama ini sangat rasional. Ia tidak menyuruh kita keletihan dan tersandar sepanjang hari.
Membaca surah Yusuf dan Maryam ketika mengandung?
Membaca Al-Quran tidaklah menjadi satu kesalahan tetapi menyandarkan kafiat bacaan dengan tidak mempunyai dalilnya adalah suatu bentuk pembohongan terhadap agama. Jika kita mengatakan bacaan itu dapat mempengaruhi kandungan, kita perlulah bertanya kepada si pemberi kafiat. Siapakah pemberi kafiat itu? Tentulah Allah Taala. Bilakah Allah berjanji dalam kitabnya jika membaca surah Maryam dapat anak perempuan dan baca surah Yusuf dapat anak lelaki? Adakah ia terdapat di dalam hadith? Sesungguhnya tidak terdapat dalam mana-mana hadith tentang perkara ini.
Adakah dengan bertanggapan Maryam AS itu wanita paling sohor di dalam Quran kita mudah menyatakan khasiat surah Maryam sedangkan ia tanpa dalil?
Janganlah kerana suatu amalan itu kelihatan cantik dan baik maka kita mengaggap ia benar.
“Katakanlah: “Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan mereka yang paling rugi amalannya? (Iaitu) mereka yang telah sia-sia kerja buatnya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka (dengan akal sendiri) bahawa mereka melakukan amalan yang baik”. (Surah al-KahfI: 103-104).
Pasangan yang bakal berkahwin berdarah manis?
Ini satu lagi tanggapan kebiasaan masyarakat kita terhadap pasangan yang bakal berkahwin. Pasangan itu dianggap mudah ditimpa bala bencana kerana bakal berkahwin. Adakah tanggapan ini benar? Kepercayaan ini dianggap khurafat dan mampu menjejaskan akidah bagi mereka yang mempercayainya. Ini kerana kita tidak tahu Qada' dan Qadar apatah lagi nasib malang yang bakal menimpa. Menganggar suatu perkara dapat mendatangkan musibah atau mencipta konsep utk mengelakkan musibah memerlukan kita mengetahui perkara ghaib. Mengatakan sesuatu perkara ghabi tanpa sandaran Nas Quran dan Hadith adalah khurafat. Ini bercanggah dengan dalil berikut:
Surah al-Naml ayat 65 :
قُل لَّا يَعْلَمُ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ
Ertinya : " Katakan (wahai Muhammad kepada umatmu) tiada sesiapa di atas muka bumi atau di langit mengetahui perkara ghaib kecuali Allah SWT" .
قَالُوا إِنَّا تَطَيَّرْنَا بِكُمْ لَئِنْ لَمْ تَنْتَهُوا لَنَرْجُمَنَّكُمْ وَلَيَمَسَّنَّكُمْ مِنَّا عَذَابٌ أَلِيمٌ (18) قَالُوا طَائِرُكُمْ مَعَكُمْ أَئِنْ ذُكِّرْتُمْ بَلْ أَنْتُمْ قَوْمٌ مُسْرِفُونَ (19)
Mereka menjawab : " Sesungguhnya kami bernasib malang kerana kamu, sesungguhnya jika kamu tidak berhenti (menyeru kami), nescaya kami akan merajam kamu dan kamu pasti akan mendapat siksa yang pedih dari kami ". Utusan-utusan itu berkata: " Kemalangan kamu itu adalah kerana kamu sendiri. Apakah jika kamu diberi peringatan (kamu mengancam kami)? Sebenarnya kamu adalah kaum yang melampaui batas ". ( Yaasiin : 18 - 19 )
Ini adalah contoh-contoh salah faham di dalam masyarakat yang disandarkan pada agama walhal ia adalah tanggapan yang batil serta tidak berdalil. Sebenarnya banyak lagi tanggapan yang silap mengenai agama yang berlaku dalam masyarakat. Sebagai orang awam, kembalilah kita kepada pemahaman agama yang lurus tanpa sebarang pencemaran. Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment