Pengenalan
Kedah memang kaya dengan pensejarahannya. Karya historiografi tertua yang diketahui setakat ini ialah Hikayat Merong Mahawangsa (HMM). HMM telah banyak diperkatakan dan terus diperkatakan. HMM juga mempunyai banyak versi :
James Low, A Translation of The Kedah Annals, Termed Marong Mahawang, JIAEA, 1849.
Muhammad Yusuf Nasaruddin, Hikayat Merong Mahawangsa Yaani Silsilah Negeri Kedah Darul Aman, Penang : Kim Sik Huan, 1898.
A.J.Sturrock (ed.) Hikayat Merong Mahawangsa, or Kedah Annals, JBRAS, 1916 (72), hal. 37-123.
Abdullah Haji Musa Lubis, Kisah Raja Merong Mahawangsa, Kuala Lumpur : Pustaka Antara, 1965.
Siti Hawa Salleh (ed.), Hikayat Merong Mahawangsa, Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya, 1971.
Dzulkifli Salleh (ed.), Hikayat Merong Mahawangsa, Kuala Lumpur : DBP, 1973.
Selain Hikayat Merong Mahawangsa, terdapat beberapa buah karya lagi sama ada dalam bentuk kecetakan atau manuskrip tulisan tangan. Karya-karya tersebut termasuklah :
Sejarah Negeri Kedah
Silsilah As-Salatin
Peringatan Raja-raja Kedah
Peraturan Raja-raja Negeri Kedah
Wan Yahya b. Wan Muhammad Taib, Salasilah atau Tawarikh Kerajaan Kedah, Penang, 1911.
Muhammad Hassan b. Dato' Kerani Muhammad Arshad, Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah, Penang, 1928. (Dicetak semula dan ditranskripsi oleh Mohd. Zaid b. Mohd. Shah, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1968)
Title | Al-Tarikh salasilah negeri Kedah Siri perpustakaan sekolah DBP ; bil. 92 |
Author | Muhammad Hassan bin Muhammad Arshad |
Publisher | Dewan Bahasa dan Pustaka, 1968 |
Original from | the University of Michigan |
Digitized | 3 Aug 2007 |
Length | 387 pages |
Subjects | Kedah |
R.O. Winstedt, "History of Kedah." JSBRAS, No. 81, 1920. Notes on the History of Kedah, JMBRAS, Vol. 14, pt. 3, 1936.
Dari senarai pensejarahan Melayu Kedah tersebut di atas hanya ada tiga yang terdapat dalam bentuk bercetak iaitu HMM, Salasilah atau Tawarikh Kerajaan Kedah dan Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah. Peringatan Raja-raja Kedah dan Peraturan Raja-raja Negeri Kedah terdapat dalam koleksi Maxwell. Tulisan ini merupakan salasilah umum raja-raja Kedah dan peristiwa-peristiwa penting. Hikayat Negeri Kedah pula tersimpan di Perpustakaan Nasional Jakarta. Sejarah Negeri Kedah dikatakan ditulis pada masa pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah. Dua judul lain iaitu Sulalatus-Salatin dan Sejarah Negeri Kedah Zamin Turan dianggap mempunyai isi yang sama dengan HMM dan dikatakan sebagai salah satu versi HMM. Kedua-dua karya ini memulakan kisah dengan cerita Merong Mahawangsa tetapi kisah dilanjutkan sehingga zaman pemerintahan Sultan Zainal Rasyid dan Sultan Ahmad Tajuddin III. Ini bererti versi ini disalin pada zaman Sultan Ahmad Tajuddin dan Muhammad Yusof Hashim menyimpulkan hikayat ini disalin pada 2 September 1879. Selain bentuk hikayat, sumber tradisional Kedah juga dapat dirujuk dalam bentuk undang-undang dan syair. Dalam bentuk undang-undang kita dapati :
a. Undang-Undang Pelabuhan, TM 1650.
b. Tembera Dato' Seri Paduka Tuan, TH 1078 (TM 1667).
c. Hukum Kanun Dato' Star - tanpa tarikh.
d. Satu bab mengenai bunga emas.
e. Undang-undang bertarikh TH 1199 (TM 1784).
Syair sejarah warisan Kedah yang penting ialah Syair Sultan Maulana yang mempunyai 1192 rangkap dan dikatakan hasil tulisan Sultan Ahmad Tajuddin II. Pendapat lain menganggap karya ini dihasilkan oleh pujangga istana bagi pihak Sultan. Sebuah lagi syair penting ialah Syair Duka Nestapa yang mengandungi 450 rangkap. Syair romantis-simbolis ini ditulis oleh Sultan Ahmad Tajuddin II sebelum tahun 1842 semasa dalam buangan di Melaka.
Penulisan sejarah tentang Kedah terus mendapat perhatian penulis-penulis selepas Tanah Melayu merdeka. Hasil-hasil karya sejarah yang komprehensif termasuklah :
G.M. Khan, History of Kedah, Penang, 1958.
Haji Buyung Adil, Sejarah Kedah, Kuala Lumpur : DBP, 1980.
Haji Ibrahim Ismail, Sejarah Kedah Sepintas Lalu, Jitra : UUM, 1987.
Selain itu terdapat juga pengkaji-pengkaji yang menghasilkan karya berdasarkan tema-tema terpilih. Antara yang telah diterbitkan :
R. Bonney, Kedah 1771-1821, The Search For Security and Indepence, Kuala Lumpur : Oxford University Press, 1974.
Sharom Ahmat, "Kedah - Tradition and Change in a Malay State : A Study of the Economic and Political Development," MBRAS no. 12, 1984.
Khoo Kay Kim (ed.), "Beberapa Aspek Sejarah Kedah," Persatuan Sejarah Malaysia, 1983.
Cheah Boon Kheng, The Peasant Robbers of Kedah 1900-1909, Kuala Lumpur : Oxford University Press.
Mohamad Isa Othman, Politik Tradisional Kedah 1681-1942, Kuala Lumpur : DBP, 1990.
__________________, Pendudukan Jepun di Tanah Melayu 1942-1945, Tumpuan di Negeri Kedah, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992.
Nampaknya penulisan sejarah tentang Kedah telah menarik minat ramai para pengkaji tempatan dan luar yang telah menghasilkan tesis dan artikel dalam berbagai jurnal. Di dalam gugusan karya sejarah Kedah, Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah tetap mempunyai kedudukannya yang tersendiri.
Riwayat Pengarang
Muhammad Hassan J.P. bin Muhammad Arshad (Tok Kerani Rahsia Raja al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Syah) bin Tuan Haji Abu Bakar Kadhi (1846) bin Tuan Syeikh Abdul Kadir (Mufti 1804-1878) bin Tuan Syeikh Abdul Wahab bin Tuan Syeikh Ahmad al-Mahdani Yaman, Bandar Sanaa. (lihat Carta 1)
Jelas Muhammad Hassan datang dari keluarga ternama Melayu yang banyak menyumbangkan derma bakti dalam bidang keagamaan dan pentadbiran negeri sejak pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa II. Saudaranya Cik Mohammad Ariffin juga merupakan tokoh penting dalam pentadbiran Kedah dengan memegang jawatan Setiausaha Sultan dan kemudian sebagai Setiausaha Kerajaan Kedah yang pertama.
Muhammad Hassan dilahirkan lebih kurang pada tahun 1280H (1868M) iaitu semasa pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin III (1854-1879). Beliau dikatakan bersekolah Melayu bersama-sama Tunku Abdul Hamid, di Alor Star. Sekolah Melayu yang ada di Kota Star ketika itu terletak di Padang Lepai. Sekolah ini dibuka pada 12.5.1861 bagi mengajar pelajar diraja dan bangsawan. Muhammad Hassan kemudiannya dilantik menjadi ketua istana. Beliau juga menjadi Setiausaha Sulit Sultan Abdul Hamid dan kerana itu dikenali sebagai Encik Hassan Yamtuan. Sudah teradat pada zaman tersebut, para pembesar dan orang yang berjasa kepada Sultan akan mendapat ampun kurnia. Dalam hal ini, Muhammad Hassan mendapat hasil repai, mukim Telaha Emas. Sebagai Setiausaha Sulit Sultan dan hubungan rapat dengan baginda maka Muhammad Hassan banyak mengiringi Sultan dalam banyak lawatan keluar negeri - ke Siam, Burma, India dan England. Muhammad Hassan meninggal dunia pada 19 Ramadhan 1361H bersamaan 30.9.1942.
Latar Belakang Penulisan
Al-Tarikh Salasilah ditulis setelah Muhammad Hassan menerima perintah daripada Tunku Ibrahim ibn Sultan Abdul Hamid, Pemangku Raja pada 1 Rejab 1345H (5 Januari 1927). Tunku Ibrahim mahu sebuah tulisan baru tentang sejarah Kedah dibuat kerana tidak berpuas hati dengan karya Wan Yahaya yang dicetak di Pulau Pinang dan diharamkan pengedarannya di Kedah atas perintah Tunku Ibrahim. Pengharaman ini dibuat kerana buku tersebut dianggap mendedahkan beberapa kelemahan kerajaan dan kesultanan Kedah. Bagi masyarakat Kedah yang masih dikongkong oleh pengaruh feudalisme ketika itu, tentu tidak memerlukan kritikan terbuka. Menurut Siti Hawa Salleh, Tunku Ibrahim tidak berpuas hati kerana :
Berbanding dengan pengarang-pengarang karya historiografi lain yang sentiasa menyanjung tinggi rajanya, Wan Yahaya telah memasukkan cerita-cerita yang dikemukakannya ialah kisan perkahwinan putera-puteri raja yang menelan belanja yang bukan kecil hingga terpaksa meminta pinjaman daripada Raja Siam. Disenaraikan secara terperinci perbelanjaan yang diperlukan. Dimuatkan juga dalam buku itu salinan satu surat daripada seseorang di Kedah kepada Raja Siam yang antara lain mengatakan Sultan Abdul Hamid tidak siuman.
Namun setelah 17 tahun Salasilah atau Tawarikh Kerajaan Kedah dicetak barulah Al-Tarikh Salasilah dihasilkan. Bila diperintahkan, barulah pengarang menulis dan buku ini telah dicetak oleh Jelutung Press pada tahun 1928. Empat puluh tahun kemudian (1968), Dewan Bahasa dan Pustaka menerbitkan pula hasil transkripsi rumi yang diusahakan oleh Mohd. Zaid b. Mohd. Syah. Al-Tarikh Salasilah merupakan lanjutan penulisan sejarah tradisi istana dan terus bersifat istana centric. Ini tidak menghairankan kerana penulis sendiri diperintah oleh pihak istana seperti yang dijelaskannya.
Ammaba'du, adapun kemudian daripada itu, dalam tahun Hijrah seributiga ratus empat puluh lima (1345) pada seharibulan Rejab (5 Januari 1927), zaman Seri Paduka Sultan Sir Abdul Hamid Halim Shah Yang Maha Mulia lagi maha tinggi daulatnya, yang bersemayam di atas takhta kerajaan Kedah Darul Aman dan pada masa terhimpun kekuasaan Sultan Yang Maha Mulia kepada puteranya Tunku Ibrahim C.M.G., C.V.O. Yang Maha Mulia Regent, maka tatkala itu bertitah suruh menzahirkan Tawarikh Salasilah ini supaya diketahui oleh isi negeri. Maka terjunjunglah titah itu.
Walaupun masyarakat Melayu masih hidup dalam suasana feudalisme, tetapi masyarakat Melayu sudah mengalami perubahan terutama kesan penjajahan British. Kehidupan intelektual Melayu sudah mengalami perubahan dan autoriti hikayat-hikayat Melayu seperti HMM sudah dipersoalkan sebagai tidak mencerminkan realiti dan penuh dongeng. Oleh hal yang demikian, beberapa percubaan dibuat menulis semula sejarah menurut perspektif sezaman. Dan adalah menjadi satu kecenderungan setiap generasi menulis semula sejarah. Inilah satu daripada kedinamikan ilmu sejarah itu. Dalam konteks Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah, kita dapati beberapa persoalan mempengaruhi 'pandangan dunia' penulisnya.
Campurtangan British dianggap membawa perubahan dalam berbagai aspek kehidupan politik, ekonomi, pendidikan, pentadbiran dan sosial. Hal ini setidak-tidaknya turut mempengaruhi juga sikap penulis dalam membuat tafsiran sejarahnya. Satu contoh paling menonjol mungkin boleh dibuat daripada beberapa karya Munshi Abdullah. Muhammad Hassan pula tentunya terpaksa menyesuaikan dengan kehendak masyarakat dan pegangan hidupnya serta konsep penulisan sejarahnya.
Teks
Teks Jawi mengandungi 440 halaman manakala teks rumi mengandungi 287 halaman dan dibahagikan kepada dua puluh bab. Buku ini meliputi jangka waktu lebih 1300 tahun dan jika diambil kira sejak ketibaan Maharaja Derbar Raja di Sungai Qilah (Merbuk) sekitar tahun 630M, maka jangka masa yang dicakupi buku ini sekitar 1297 tahun.
Pada bahagian awal buku Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah ini, pengarang membincangkan asal-usul penduduk Tanah Melayu yang berasal dari Pulau Jawa. Akibat serangan Raja India, ramai penduduk Jawa melarikan diri ke Tanah Melayu yang pada masa itu dikenali sebagai Tanah Segara Masin. Perbuatan menyeberangan disebut "Melayu" (bahasa Sanskrit). Lama-kelamaan Tanah Segara Masin dikenali sebagai Tanah Melayu. Penduduk Tanah Melayu ketika itu beragama Hindu.
Selain orang Jawa, terdapat kumpulan pendatang lain dari Pulau Serindit (Sri Lanka) dan India. Kumpulan lain terdiri daripada puak Siam dari Ligor (Tharmalingga), Chai (Chaya), Langsun (Teluk Siam) dan Banudan serta dari Tenangsari (Tenasariem). Penduduk berbilang bangsa ini telah membuat petempatan di Kedah dan setengahnya berkahwin dengan penduduk asli.
Pengasasan pemerintahan dimulakan dengan pembentukan institusi dato-dato. Masyarakat Qalha mula melantik ketua (ketuha) sendiri yang terdiri daripada Tan Dermadewa dan Tun Perkasa. Perubahan berlaku sekitar tahun 630M bila Qalha beroleh Raja dan bermulanya naratif pengembaraan dan persalasilahan Raja Kedah. Dijelaskan juga keistimewaan Raja dan perlantikan Maharaja Derbar Raja yang dikatakan berasal dari Gumarun, Parsi. Dalam hal ini terdapat pengkaji yang menganggap Muhammad Hassan menghadapi masalah untuk menulis tentang raja-raja awal Kedah kerana kekurangan sumber dan terpaksa menggunakan kaedah yang sama dengan HMM yang bergantung kepada oral-naratif.
Setelah menjadi Raja Qalha, Maharaja Derbar Raja mendirikan kota Langkasuka (634M) di sebelah ulu sungai. Kota ditambak dengan tanah dan ditanam buluh berduri di atas kota dan dibuat tiga pintu gerbang. Ini permulaan pembinaan kota di Kedah (Mukim Sok). Selain itu, pembentukan institusi pembesar 4, 8 dan 16 dimulakan. Ini memperlihatkan adanya unsur kosmologi India. Keabsahan pemerintahan juga memerlukan alat kebesaran Raja. Dalam hal ini, disebutkan alat-alat kebesaran tersebut termasuklah Semambu (rotan Melaka) yang dinamakan Mahaguru; Nagara iaitu sejenis gendang kecil dan Nafiri yang merupakan sejenis serunai.
Selepas itu, buku ini terus memuatkan cerita pemerintahan Raja Qalha sehingga kepada pemerintahannya yang ketujuh iaitu :
Pemerintahan Maharaja Diraja Putera - raja kedua di Kota Langkasuka dan kemudian bersemayam di Kota Bandar (Siong).
Maharaja Maha Dewa - raja ketiga bersemayam di Kota Bandar dan kemudian di Sidim dan selepas itu membina Kota Ok (Mukim Sok, Sik).
Maharaja Karna Diraja - raja keempat bersemayam di Kota Ok dan kemudian dirikan Kota Arong-arongan di hilir Kota Ok.
Pemerintahan Seri Paduka Maharaja Kerma - raja kelima bersemayam di Kota Arong-arongan.
Pemerintahan Seri Paduka Maharaja Maha Dewa - raja keenam di Kota Arong-arongan.
Pemerintahan Seri Paduka Maharaja Derma Raja - raja ketujuh di Kota Arong-arongan dan kemudian di Bukit Meriam.
Dalam soal hubungan dengan Siam, Al-Tarikh menerangkan perhubungan tersebut bermula dengan Ligor yang membantu Qalha dalam peperangan dengan Tenangsari, di Padang Jangam. Setelah itu, Al-Tarikh menerangkan tentang zaman pemerintahan Seri Paduka Maharaja Derbar Raja II, Raja kesembilan yang bersemayam di Bukit Meriam.
Kisah pengislaman Kedah mendapat tempat istimewa dalam buku ini. Qalha diislam secara rasmi pada tahun 531H (1136M), bila Maharaja Derbar Raja II diislamkan oleh Syeikh Abdullah. Ekoran daripada itu, nama raja ditukar kepada Sultan Muzaffar Syah dan negeri Qalha menjadi Kedah Darul Aman. Langkah lain bagi meninggikan syiar Islam seperti pembinaan masjid, menara, menjalankan hukum-hukum Islam, perlantikan mufti dan penghapusan identiti bukan Islam. Sultan Muzaffar juga berusaha mengukuhkan pentadbiran dengan cuba menguatkan penguasaan di daerah yang agak jauh daripada pusat pentadbiran dengan cara :
Pembinaan Kota Palas di Mukim Wang Tepus untuk pertahanan serangan dari utara.
Pembinaan Kota Ulu di Mukim Padang Terap.
Perlantikan Tunku Sulaiman sebagai Raja Laksamana untuk menjaga Langkawi.
Al-Tarikh diteruskan dengan membicarakan zaman :
Pemerintahan Sultan Muazzam Syah (1179-1202) - Raja ke-10 di Kota Bukit Meriam dan kemudian Kota Sungai Emas, Kuala Muda.
Pemerintahan Sultan Muhammad Syah (1202-1237) - Raja ke-11 di Bukit Meriam dan Kota Sungai Emas.
Pemerintahan Sultan Muzzil Syah (1237-1280) - Raja ke-12.
Pemerintahan Sultan Mahmud Syah (1280-1321) - Raja ke-13 Bukit Meriam. Baginda membina Kota Siputih dan Kota di Ulu Sungai Merpah kerana ancaman Tenangsari.
Pemerintahan Sultan Ibrahim (1321-1373) - Raja ke-14 di Sungai Emas dan kemudian berpindah ke Siputih. Bermula perpindahan pusat pentadbiran ke utara.
Pemerintahan Sultan Sulaiman Syah (1373-1423) - Raja ke-15 di Siputih.
Pemerintahan Sultan Ata'Allaa Muhammad Syah (1423-1473) - Raja ke-16.
Pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa Zainal Azilin (1473-1506) - Raja ke-17.
Pemerintahan Sultan Mahmud Syah (1506-1547) - Raja ke-18.
Pemerintahan Sultan Muzaffar Syah II (1547-1602) - Raja ke-19.
Pemerintahan Sultan Sulaiman Syah II (1602-1619) - Raja ke-20.
Muhammad Hassan juga memberi keutamaan kepada serangan Sultan Iskandar Muda dari Acheh ke atas Kedah. Buku ini tidak menyebut tentang peristiwa peperangan dan lebih menekankan strategi Kedah menghadapi Acheh. Peristiwa ini berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Sulaiman. Sultan Sulaiman mengambil pendekatan bersahabat dengan kuasa yang lebih kuat. Baginda bersama-sama tujuh orang menteri dan sebilangan rakyat telah berkenan berangkat ke Acheh. Baginda dikatakan meninggal di sana kerana penyakit sebak. Episod ini amat menarik untuk dikaji kerana Muhammad Hassan mungkin melihat dari satu perspektif sahaja.
Al-Tarikh Sebagai Sumber Sejarah
Dari segi tema, buku ini masih meneruskan tradisi salasilah Melayu yang berpusat kepada pemegang kuat-kuasa (istana-centric). Ini dapat dilihat dari naratif, salasilah dan anekdot-anekdot yang ditulis. Di dalamnya dapat diperolehi salasilah keluarga diraja dari awal hingga pengarang menamatkan cerita. Sebelum Islam, Kedah diperintah oleh 9 orang raja dan diikuti 25 orang sultan Islam. Perbezaan jelas antara HMM dengan Al-Tarikh dalam menyusun salasilah raja-raja Kedah terutamanya nama dan bilangan raja sebelum Islam.
Aspek lain yang diteruskan dari tradisi salasilah Melayu dapat dilihat dari sudut diakronis teks yang dapat dibahagikan kepada dua bahagian :
Bahagian naratif - fiktif - oral. Bahagian ini terletak di awal kisah dan diperolehi daripada sumber lisan.
Bahagian sezaman dengan pengarang.
Kita dapat mengesan Muhammad Hassan menggunakan sumber lisan menerusi catatannya "demikian kisahnya ; demikian kata yang empunyai cerita." Beliau juga nampaknya menggunakan sumber bertulis misalnya dicatatkan "tersimpan di tempat kerajaan Sultan Yang Maha Mulia" satu gambaran beliau menggunakan arkib diraja. Cuma disayangkan beliau tidak mencatatkan sumber rujukan itu. Namun, tradisi penulisan sedemikian bukanlah menjadi amalan pada masa itu dan pengarang tidak boleh dipersalahkan. Dari segi persembahan, jelas Muhammad Hassan tidak lagi menggunakan ayat yang panjang-panjang dan sudah mengurangkan kata memuji yang berjela-jela.
Pada zaman silam, pengarang Melayu menganut konsep sejarahnya yang tersendiri. Mereka juga mempunyai cara menulis yang teratur dan berencana. Terdapat pandangan yang melihat kepentingan mitos dan lagenda mempunyai peranan dan objektif yang tersendiri. Malah mitos dan realiti digabungkan untuk menaikkan martabat raja dan negeri. Di dalam HMM, memang kaya dengan unsur ini seperti Kisah Nabi Sulaiman dengan Garuda, Raja Bersiong, Raja Buluh Betung, Puteri Seluang dan Merong Mahawangsa dengan Garuda. Mitos ini mempunyai maksud terselindung dan perlu diberi interpretasi. Bagaimanapun, bagi Muhammad Hassan pula beliau cuba seboleh-bolehnya mengelak unsur mitos - lagenda. Percubaan Muhammad Hassan memang dianggap baik. Tegas Hendrick M.J. Maier, Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah,
….was abviously a manifestation of a new desire for knowledge, a new sort curiosty.
Baik HMM atau Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah adalah penciptaan hasil sejarah yang ditentukan oleh semangat dan suasana zaman serta pengertian dan disiplin sejarah sezaman. Etos dan falsafah semasa jelas memancarkan pemikiran budaya dan sejarah masyarakatnya. Jadi mahu atau tidak, pengkaji sejarah perlu memanfaatkan sumbangan Al-Tarikh Salasilah Negeri kedah tatkala mengkaji sejarah Kedah Darul Aman di samping meneliti sumber-sumber lain.
No comments:
Post a Comment